Ahad, 16 April 2023 | 8:15pm
Tan Jie (kanan) dan Ee Wei berharap dapat menyertai program RTG.
Tan Jie (kanan) dan Ee Wei berharap dapat menyertai program RTG.

Tang Jie-Ee Wei intai program RTG

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie memasang impian untuk berada dalam program Road To Gold (RTG) yang diyakini mampu membantu dia dan pasangan, Toh Ee Wei untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, Tang Jie, 25, sedar mereka perlu terlebih dahulu membuktikan kemampuan sebelum disenaraikan dalam program berkenaan yang diwujudkan khusus bagi membantu atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat emas di Olimpik.

Justeru, Tang Jie-Ee Wei yang muncul juara Masters Orleans di Perancis, minggu lalu tekad untuk terus bekerja keras bagi menyerlahkan potensi mereka sekali gus memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk disenaraikan dalam program RTG.

"Kami sedar terdapat ramai pemain yang hebat di dalam dan luar negara. Jadi, kami akan terus berusaha untuk meningkatkan diri, memberikan yang terbaik dalam setiap pertandingan dan berjuang untuk kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Jika dapat menjadi sebahagian daripada program ini (RTG), bermakna keupayaan kami diiktiraf semua pihak dan sudah tentu ia sesuatu yang positif. Sekarang tugas utama kami adalah berusaha untuk meningkatkan prestasi dan mencapai lebih banyak kejayaan," katanya.

Setakat ini, tiada beregu campuran daripada Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang terpilih dalam program RTG, sebaliknya dua pasangan profesional yang disenaraikan iaitu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang mendahului buruan tiket ke Olimpik Paris bagi acara berkenaan.

Turut tersenarai dalam RTG bagi sukan badminton adalah pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah serta beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Dua kriteria utama untuk berada dalam program berkenaan adalah pemenang pingat temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik dunia.

Tang Ji-Ee Wei ketika ini berada di kedudukan ranking ke-22 dunia.

Pasangan itu berpeluang untuk melonjakkan kedudukan ranking mereka jika berjaya mencatat keputusan positif apabila beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 25 hingga 30 April ini.

Tang Jie-Ee Wei akan membuka tirai kempen menentang pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kom Won Ho-Jeong Na Eun untuk aksi pusingan pertama.

Berita Harian X