KUALA LUMPUR: Andai lebih sabar dan tidak terlalu tergesa-gesa dalam perlawanan, gelaran Terbuka Switerland mungkin sudah menjadi milik beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Perkara itu diakui sendiri oleh Shevon terutama ketika kedudukan perlawanan terikat 16-16 dengan seteru di final dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada set ketiga yang tegang itu.
"Kami tidak sabar pada penghujung set ketiga. Kami (di kedudukan) 16-16 dan ini memberikan peluang sama rata kepada kedua-duanya untuk meraih gelaran. Namun kemudian, kami hilang sabar dan terlalu tergesa-gesa untuh mematikan (serangan) lawan.
"Jadi ia memberikan mata mudah buat mereka. Selepas ini, kami perlu menilai semula dan tidak melakukan lagi kesilapan sama pada kejohanan seterusnya," kata Shevon ketika ditemubual Pegawai Media Terbuka Switzerland, Andreas W Schmid, semalam.
Soon Huat-Shevon tewas 17-21, 21-19, 17-21 ditangan gandingan muda China itu dan pencapaian naib juara ini adalah yang kedua berturut-turut buat mereka selepas meraih kedudukan sama pada musim lalu.
"(Tahun ini) Kami dapat mengatasi lawan yang kami belum pernah tewaskan pada kejohanan ini dan tahun ini juga, adalah yang kedua berturut-turut kami berada di pentas final Terbuka Switzerland.
"Tentunya ia sesuatu yang bagus buat kami," kata Shevon yang pada minggu ini akan menggalas cabaran pada Masters Sepanyol dan dijadual bertemu wakil Taiwan, Chang Ko Chi-Lee Chih Chen di pusingan pertama.
"Kami perlu kembali fokus untuk saingan seterusnya kerana pada minggu ini persaingan agak sengit dan kami perlu pulihkan fizikal, mental dan emosi untuk kembali bangkit," kata Shevon.