KUALA LUMPUR: Beregu profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menjadi wakil tunggal untuk meneruskan perjuangan Malaysia pada saingan badminton Terbuka Switzerland 2023 di Basel.
Beregu campuran itu melangkah ke pentas akhir selepas mengatasi Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda 21-14, 23-21 dalam tempoh 38 minit dalam aksi di St. Jakobshalle, pagi tadi.
Selepas menang set pertama 21-14, Soon Huat-Shevon yang juga pilihan keenam kejohanan, ditentang hebat pasangan Belanda itu sebelum berjaya mengawal permainan dan memenangi pertarungan sengit berakhir dengan 23-21.
Keputusan itu menyaksikan beregu ranking ke-11 dunia itu akan bertemu wakil China Jiang Zheng Bang-Wei Ya Xin yang mara selepas menundukkan wakil Taiwan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 21-13, 23-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sementara itu, hasrat perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia bagi meraih gelaran pertamanya musim ini musnah selepas ditundukkan pemain Jepun Koki Watanabe straight set 11-21, 14-21.
- BERNAMA