Rabu, 22 March 2023 | 11:10pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mencetus kebangkitan sensasi apabila menyingkirkan juara Seluruh England dari China, Li Shi Feng di Terbuka Switzerland. - Foto BADMINTON PHOTO
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mencetus kebangkitan sensasi apabila menyingkirkan juara Seluruh England dari China, Li Shi Feng di Terbuka Switzerland. - Foto BADMINTON PHOTO

Zii Jia singkir juara Seluruh England

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mencetus kebangkitan sensasi apabila menyingkirkan juara Seluruh England dari China, Li Shi Feng bagi mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Switzerland, sebentar tadi.

Walaupun tewas set pertama 18-21, Zii Jia membuktikan tahap keyakinannya kini semakin 'pulih' apabila berjaya bangkit dengan kemenangan 21-18 di set kedua sekali gus mengheret permainan ke set penentuan pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di St Jackobshalle di Basel itu.

Set ketiga menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua pemain apabila saling mengejar mata namun tuah memihak kepada Zii Jia yang menyaksikan dia mencatat kemenangan 23-21 untuk melangkah ke kelompok 16 terbaik.

Zii Jia dijadual bertemu pemain Ireland, Nhat Nguyen bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

Ahad lalu, Shi Feng dinobatkan sebagai juara Seluruh England buat kali pertama dalam kerjayanya apabila menang aksi final ke atas rakan senegara, Shi Yuqi yang menewaskan Zii Jia di peringkat separuh akhir sehari sebelum itu.

Sebelum saingan Seluruh England, Zii Jia bergelut dengan prestasi tidak menentu apabila tewas di pusingan awal dalam empat kejohanan disertainya iaitu - Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman.

Berita Harian X