Isnin, 20 March 2023 | 12:10pm
Aksi Lee Zii ketika menentang pemain China Shi Yu Qi pada separuh akhir Seluruh England. - AP
Aksi Lee Zii ketika menentang pemain China Shi Yu Qi pada separuh akhir Seluruh England. - AP

Rom tidak dibina dalam sehari - Zii Jia

KUALA LUMPUR: Rom tidak dibina dalam sehari!

Itu luahan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sambil menegaskan dia akan terus menikmati setiap proses yang bakal diharunginya dalam usaha menjadi pemain yang lebih baik.

Pemain nombor empat dunia itu, berkata dia sedar perlu bekerja lebih kuat selepas ini bagi meningkatkan tahap permainannya.

"Sudah tentu lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mencapai prestasi yang lebih baik. Saya akan terus bersabar dan menikmati setiap proses yang akan saya depani, Rom tidak dibina dalam sehari… tetap semangat," kata Zii Jia menerusi hantaran di Facebook miliknya, semalam.

Terdahulu, Zii Jia terkandas di separuh akhir Seluruh England di Birmingham selepas tewas kepada pemain China, Shi Yuqi, kelmarin.

Kejayaan mara ke separuh akhir di Birmingham adalah yang terbaik buat Zii Jia musim ini selepas tewas pusingan awal dalam empat kejohanan sebelum ini - Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman.

"Birmingham sentiasa menjadi tempat istimewa untuk saya, seronok dapat kembali ke arena yang hebat ini dengan kehadiran penonton yang luar biasa.

"Malangnya, mengakhiri saingan Seluruh England tahun ini di separuh akhir tetapi ia adalah perlawanan yang baik menentang lawan saya Yuqi.

"Tidak dilupakan, pelindung terkuat saya TeamLZJ (Pasukan Lee Zii Jia). Kita melakukan kerja yang hebat dalam tempoh beberapa bulan ini. Saya juga menghargai kepercayaan yang diberikan daripada penaja dan peminat," katanya.

Zii Jia akan meneruskan saingan musim ini dengan menyertai Terbuka Switzerland yang bermula esok.

Bagaimanapun, dia berdepan tugas mencabar apabila dijadual menentang juara Seluruh England yang baharu, Li Shi Feng dari China pada aksi pusingan pertama kejohanan.

Pemain berasal dari Alor Setar, Kedah itu, berkata dia berharap dapat mengekalkan tahap keyakinan yang sudah dibinanya di Seluruh England dalam misi menghasilkan keputusan positif di Terbuka Switzerland.

"Saya perlu percaya… berjaya mara ke separuh akhir Seluruh England bukan disebabkan tuah sebaliknya ia hasil usaha saya. Jadi, saya perlu percaya dengan kemampuan diri saya," katanya.

Berita Harian X