KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, berkata pencapaiannya mara ke separuh akhir Seluruh England 2023 membuatkan dia kembali yakin dan percaya dengan kemampuan dimilikinya.
Langkah pemain nombor empat dunia itu terhenti di separuh akhir selepas tunduk kepada Shi Yuqi dari China 19-21, 13-21 pada aksi yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham, malam tadi.
Kedua-dua pemain pernah menjuarai kejohanan berprestij itu dengan Zii Jia muncul juara pada edisi 2021 manakala Yuqi mendominasi saingan pada 2018.
"Prestasi saya di sini (Seluruh England) membuatkan saya kembali percaya dengan kemampuan diri saya. Saya mengharungi permulaan musim yang sukar, saya sebenarnya meragui sama ada mampu kembali bangkit.
"Namun, saya sudah buktikannya pada kejohanan ini. Ya, ia mungkin sehingga separuh akhir saja tetapi saya mahu ambil pendekatan peringkat demi peringkat untuk saya menjadi lebih baik," kata Zii Jia dalam temu bual dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan, malam tadi.
Kejayaan mara ke separuh akhir di Birmingham adalah yang terbaik buat Zii Jia musim ini selepas tewas pusingan awal dalam empat kejohanan sebelum ini - Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman.
Zii Jia yang kali terakhir merekodkan gelaran juara di Terbuka Thailand pada Mei tahun lalu, berkata dia sebenarnya berharap dapat melangkah ke pentas final di Seluruh England kali ini.
"Sudah tentu saya kecewa kerana tidak berjaya mara ke final. Saya fikir, Yuqi bermain dengan baik terutama dari segi strategi yang mana dia buat persiapan lebih baik," katanya.
Zii Jia selepas ini dijadual beraksi pada saingan Terbuka Switzerland yang bermula Selasa ini dengan dia akan membuka tirai kempen menentang pemain China, Li Shi Feng di pusingan pertama kejohanan.