KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong percaya penampilan pertamanya beraksi di Seluruh England menghadirkan pengalaman berharga buat dirinya bagi mengukuhkan lagi reputasi di pentas antarabangsa.
Tze Yong, 23, terkandas di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pemain China, Li Shi Feng 11-21, 11-21 pada aksi yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, dalam laluannya menembusi kelompok lapan terbaik, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu mencipta sensasi apabila menyingkirkan pemain nombor satu dunia yang juga juara bertahan dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan kedua 21-15, 9-21, 23-21.
Tze Yong yang berada di ranking ke-28 dunia, berkata banyak yang dipelajarinya pada penampilan sulung di Birmingham yang akan menjadi 'azimat' untuk dia menghadapi kejohanan seterusnya pada masa akan datang.
"Banyak perkara yang saya belajar di kejohanan ini. Jadi, saya harap pengalaman ini dapat digunakan bagi kejohanan yang akan datang," katanya ketika ditemubual Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Mengulas mengenai kekalahan di tangan Shi Feng, Tze Yong, berkata: "Saya tidak berjaya mengeluarkan permainan sebenar saya dan tidak selesa bermain menentang dia (Shi Feng). Saya sedar saya perlu bekerja keras lagi selepas ini" katanya yang tewas kali keempat berturut-turut di tangan Shi Feng.
Ditanya sama ada dia berada dalam kepenatan selepas mengharungi perlawanan panjang ketika menentang Axelsen sehari sebelum itu dan adakah ia memberi kesan terhadap prestasinya dalam pertemuan dengan Shi Feng, Tze Yong menolak tanggapan berkenaan.
"Saya tidak fikir mengenainya cuma seperti yang saya katakan saya tidak berjaya keluarkan permainan sebenar saya," katanya.
Tze Yong selepas ini akan mengalihkan fokusnya bagi menghadapi saingan Terbuka Switzerland yang bermula Selasa ini.