KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menyifatkan kejayaan melangkah ke separuh akhir Seluruh England sebagai detik istimewa buat dirinya.
Pemain nombor empat dunia itu, berkata selepas mengharungi permulaan musim yang sukar, dia gembira apabila akhirnya berjaya menamatkan badi terkandas di pusingan awal.
"Permulaan tahun ini adalah sangat sukar untuk saya tetapi akhirnya saya berjaya lepas ke peringkat suku akhir dan saya melakukannya sekali lagi dengan mara ke separuh akhir.
"Sudah tentu saya gembira dan teruja tetapi ia untuk hari ini (semalam) saja. Saya perlu bermula semula (menjelang perlawanan separuh akhir)," katanya.
Semalam, juara edisi 2021 itu berjaya melunaskan dendamnya ke atas Kodai Naraoka dari Jepun selepas menewaskan lawan itu untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Seluruh England.
Zii Jia menebus kekecewaan dimalukan Naraoka di pusingan pertama Terbuka Malaysia, Januari lalu apabila kali ini melakar kemenangan 21-9, 10-21, 21-13 pada aksi suku akhir yang berlangsung Utilita Arena Birmingham.
Sebagai rekod, ini adalah pencapaian terbaik Zii Jia musim ini selepas terkandas di pusingan awal dalam tiga kejohanan disertainya Januari lalu - Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia selain Terbuka Jerman, minggu lalu.
Zii Jia akan membuat perhitungan dengan juara 2018 dari China, Shi Yuqi bagi perebutan tiket ke pentas final, malam ini.
Yuqi melangkah ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan rakan senegara, Weng Hong Yan 21-9, 21-16 dalam satu lagi aksi suku akhir.