Jumaat, 17 March 2023 | 9:41am
Aksi pemain negara, Ng Tze Yong ketika menentang bintang Denmark, Viktor Axelsen pada Seluruh England dekat Utilita Arena di Birmingham, England. - AP
Aksi pemain negara, Ng Tze Yong ketika menentang bintang Denmark, Viktor Axelsen pada Seluruh England dekat Utilita Arena di Birmingham, England. - AP

Belum masa untuk 'enjoy'

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong enggan terlalu meraikan kejayaannya menumbangkan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen sebaliknya mahu kekal fokus menjelang pertemuan menentang Li Shi Feng dari China pada aksi suku akhir Seluruh England, malam ini.

Terdahulu, Tze Yong yang membuat penampilan pertama di kejohanan berprestij itu mencipta sensasi apabila menyingkirkan Axelsen yang juga juara bertahan di pusingan kedua menerusi kemenangan 21-15, 9-21, 23-21 di Arena Utilita Birmingham, malam tadi.

Pemain ranking ke-28 dunia itu yang dibimbing Hendrawan mempunyai misi besar berdepan Shi Feng malam ini apabila cuba untuk menamatkan badi kekalahan di tangan lawan berkenaan selepas tewas dalam semua tiga pertemuan antara mereka sebelum ini.

"Sudah tentu saya gembira (menang ke atas Axelsen) tetapi saya tidak boleh terlalu 'enjoy' kerana saya perlu fokus perlawanan seterusnya.

"Saya akan tengok semula rakaman video perlawanan antara kami (menentang Shi Feng) kerana saya pun beberapa kali kalah kepada dia. Apa pun, saya tidak mahu fikir terlalu banyak sebaliknya akan 'fight' saja," katanya menerusi temu bual bersama Spotv Malaysia.

Mengulas mengenai aksi menentang Axelsen, Tze Yong mengakui dia beraksi tanpa tekanan dan hanya cuba untuk menampilkan prestasi terbaik mengambil kira status lawan yang juga juara Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Masa saya menang angin, saya lebih berani untuk buka…jadi, dari sana saya dapat mata," katanya.

Sementara itu, Axelsen mengakui dia melalui perlawanan yang sukar berdepan Tze Yong yang bermain dengan lebih baik berbanding dirinya.

Aksi pemain badminton nombor satu dunia, Viktor Axelsen ketika menentang Ng Tze Yong. - Foto Reuters
Aksi pemain badminton nombor satu dunia, Viktor Axelsen ketika menentang Ng Tze Yong. - Foto Reuters

"Tewas kepada pemain yang lebih baik dalam perlawanan hari ini dan kempen Seluruh England 2023 tidak berakhir seperti mana yang saya harapkan. Tahniah Tze Yong di atas kemenangan dan semoga berjaya untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berjaya melangkah ke suku akhir buat kali pertama musim ini selepas menewaskan wakil Jepun, Kenta Nishimoto 21-15, 21-10 pada aksi pusingan kedua.

Pemain nombor empat dunia itu akan bertemu seorang lagi pemain Jepun, Kodai Naraoka bagi perebutan tiket ke separuh akhir.

Aksi pemain Jepun, Kodai Naraoka ketika menentang Srikanth Kidambi pada pusingan kedua Terbuka All England. - Foto Reuters
Aksi pemain Jepun, Kodai Naraoka ketika menentang Srikanth Kidambi pada pusingan kedua Terbuka All England. - Foto Reuters

Dalam acara beregu campuran, wakil negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal meneruskan kemaraan apabila tewas di tangan pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo 12-21, 21-11, 19-21.

Berita Harian X