KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menyingkirkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin pada aksi pusingan pertama Seluruh England di Birmingham, sebentar tadi.
Selepas tewas 12-21 di set pertama, pasangan negara kembali mendapat momentum mereka apabila menang dua set berikutnya 21-16, 21-18 pada aksi yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan 16 terbaik.
Kemenangan itu membolehkan Ee Yi-Yew Sin menyamakan kedudukan 3-3 dalam enam pertemuan dengan lawan dari Taiwan berkenaan.
Bagaimanapun, mereka dijangka berdepan satu lagi laluan berliku apabila dijadual bertemu juara bertahan, Mohamad Shobibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia bagi perebutan tiket ke suku akhir, Khamis ini.
Sementara itu, beregu campuran profesional, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing turut bermula dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua selepas membenam cabaran gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.
Kian Meng-Pei Jing menang 21-19, 21-18 dan akan membuat perhitungan dengan naib juara edisi 2021, Yuki Kaneko-Misaki Matustomo di pusingan kedua selepas beregu Jepun itu menyingkirkan satu lagi pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di pusingan pertama.