KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky melontarkan cabaran kepada gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk bersaing memburu kejuaraan pada saingan badminton Seluruh England di Birmingham.
Rexy mahu gandingan nombor dua dunia itu kembali bangkit selepas terkandas di pusingan kedua Terbuka Jerman di Mulheim, minggu lalu.
Katanya, dia mahu melihat prestasi terbaik ditampilkan Aaron-Wooi Yik sambil mengharapkan mereka menunjukkan semangat juang tinggi sama seperti pasangan lain yang turun dengan sasaran meraih gelaran juara.
"Untuk Seluruh England ini, apa yang saya cakap kepada mereka adalah supaya mengeluarkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan. Aaron-Wooi Yik perlu berjuang untuk diri sendiri.
"Bagi saya, sasaran kita di sini adalah sama seperti beregu-beregu ternama yang lain. Saya yakin, semua beregu terbaik pasti mahukan kejuaraan, sama seperti kita juga," katanya.
Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia hampir meraih gelaran pertama mereka di Seluruh England pada 2019 apabila berjaya melangkah ke final sebelum terpaksa akur tewas di tangan beregu berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Aaron-Wooi Yik akan turun beraksi pada pusingan pertama yang dijadualkan berlangsung hari ini dengan menentang pasangan ranking ke-11 dunia dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, esok.
Sementara itu, Aaron, berkata kegagalan di Terbuka Jerman sudah menjadi sejarah buat dirinya dan Wooi Yik dengan fokus kini diberikan sepenuhnya terhadap saingan Seluruh England.
"Apa yang sudah berlaku, biarlah ia berlalu (kekalahan di pusingan kedua Terbuka Jerman). Fokus dan persiapan kami sekarang sepenuhnya adalah untuk menghadapi saingan di Seluruh England minggu ini," kata Aaron.