KUALA LUMPUR: Adakah Lee Zii Jia akan kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)?
Kemungkinan itu ada apabila pasukan Road to Gold (RTG) difahamkan bakal menggerakkan usaha bagi membawa semula pemain perseorangan lelaki negara itu yang kini bergerak secara profesional kembali bernaung di bawah BAM.
Langkah itu adalah bagi membolehkan Zii Jia yang juga pemain nombor empat dunia mendapat semua bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan dalam misi untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus menjelmakan kilauan pingat di temasya terbesar dunia berkenaan.
Zii Jia, 25, ketika ini tidak menggunakan khidmat jurulatih selepas berpisah dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya pada November tahun lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini memberitahu beliau akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Zii Jia sebaik pemain itu pulang ke tanah air selepas tamat siri kejohanan di Eropah.
Kurang dua bulan sebelum pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris bermula pada 1 Mei ini, Zii Jia yang dilabel antara prospek pingat buat kontinjen negara bergelut dengan prestasi tidak menentu apabila terkandas di pusingan awal dalam semua empat kejohanan disertainya musim ini.
Sebagai rekod, kali terakhir Zii Jia muncul juara adalah pada saingan Terbuka Thailand, Mei tahun lalu.
Juara Asia itu memulakan musim 2023 dengan hambar apabila tewas di pusingan pertama dan kedua dalam empat kejohanan disertainya iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia pada Januari lalu manakala yang terbaharu di Terbuka Jerman, Khamis lalu.
Malah, kemelut luar gelanggang yang tercetus antara dia dan Indra turut dikatakan menjadi salah satu faktor kemerosotan prestasinya. Zii Jia meninggalkan BAM untuk bergerak secara profesional pada Januari tahun lalu.
Jawatankuasa RTG akan dipengerusikan secara bersama oleh Hannah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dengan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam sebagai penyelaras projek.
RTG akan memberi tumpuan kepada program persediaan meliputi latihan harian, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri dalam misi menjelmakan kilauan emas di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Difahamkan, semua atlet yang terpilih untuk berada dalam program RTG perlu menandatangani kontrak sebagai komitmen bagi mendapat semua bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan untuk mereka melakukan persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris.