Jumaat, 10 March 2023 | 2:19pm
Lee Zii Jia
Lee Zii Jia

'Saya sudah selesai'

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia ternyata kecewa apabila terkandas di pusingan awal dalam aksi Terbuka Jerman di Mulheim, malam tadi.

Ia jelas terpapar melalui muat naik Zii Jia di akaun Instagram susulan kekalahan di tangan pemain Taiwan, Lee Chia Hao, 21-15, 20-22, 21-23 pada aksi pusingan kedua kejohanan itu.

"Saya sudah selesai" - demikian luahan pemain berusia 25 tahun itu, mengundang pelbagai persoalan mengenai apakah maksud sebenar hantaran berkenaan.

Bagaimanapun, yang pasti aksi dalam gelanggang jelas tidak menyebelahi Zii Jia ketika ini apabila dia masih gagal untuk melangkah ke suku akhir buat kali pertama dalam kejohanan musim ini.

Pemain nombor empat dunia itu memulakan musim 2023 dengan hambar apabila tewas di pusingan pertama dan kedua dalam tiga kejohanan disertainya iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia pada Januari lalu.

Kekalahan semalam di tangan Chia Hao yang berada di kedudukan ranking ke-49 dunia pastinya menambah luka Zii Jia.

Pada November tahun lalu, juara Asia itu memutuskan untuk berpisah dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya dan sehingga kini kekal untuk bergerak secara solo.

Zii Jia selepas ini akan mengalihkan fokusnya bagi menghadapi saingan Seluruh England yang bermula dari 14 hingga 19 Mac ini di Birmingham dengan dia akan membuka tirai kempen menentang pemain Thailand, Sitthikom Thammasin di pusingan pertama.

Berita Harian X