Khamis, 16 Februari 2023 | 8:48am

Malaysia ke suku akhir BAMTC

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan tiket ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAMTC) 2023 selepas menewaskan Kazakhstan 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan B di Dubai Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam tadi.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut skuad negara selepas melakar kemenangan pada aksi pertama kumpulan dengan menewaskan UAE 5-0, semalam.

Terdahulu, pada aksi menentang Kazakhstan di Pusat Pameran Dubai, Malaysia yang menyenaraikan barisan pemain berbeza berbanding bertemu UAE meraih mata pertama menerusi perseorangan wanita, Wong Ling Ching yang menewaskan Aisha Zhumabek 21-6, 21-13.

Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao meletakkan skuad negara terus selesa di depan menerusi kemenangan ke atas Dmitriy Panarin 21-12, 21-16 sebelum beregu wanita, Teoh Mei Xing-Goh Pei Kee menundukkan Nargiza Rakhmetullayeva-Kamila Smagulova 21-7, 21-7 untuk menyumbang mata ketiga pasukan.

Dua lagi mata skuad negara disumbangkan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang direhatkan ketika menentang UAE apabila menang ke atas Khaimurat Kulmatov-Artur Niyazov 21-5, 21-17 dan beregu campuran, Chan Tang Jie-Toh Ee Wei mengatasi Makhsut Tadzhibullaev-Aisha Zhumabek 21-9, 21-10.

Chan Tang Jie-Toh Ee Wei mengatasi Makhsut Tadzhibullaev-Aisha Zhumabek 21-9, 21-10.
Chan Tang Jie-Toh Ee Wei mengatasi Makhsut Tadzhibullaev-Aisha Zhumabek 21-9, 21-10.

Malaysia bakal berdepan ujian sebenar pada kempen kali ini apabila dijadual bertemu India yang turut menang ke atas Kazakhstan dan UAE dalam aksi terakhir yang menjadi penentuan bagi gelaran juara dan naib juara kumpulan, malam ini.

Juara dan naib juara kumpulan layak ke suku akhir dengan undian semula akan dilakukan bagi menentukan lawan untuk perebutan tempat ke separuh akhir.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir secara automatik layak ke saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei depan.

Sebagai rekod, sejak BAMTC dianjurkan pada 2017, pasukan negara tidak pernah berjaya menamatkan saingan di kelompok empat terbaik dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik menang ke atas Khaimurat Kulmatov-Artur Niyazov 21-5, 21-17.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik menang ke atas Khaimurat Kulmatov-Artur Niyazov 21-5, 21-17.
Berita Harian X