KUALA LUMPUR: Akademi Badminton Malaysia (ABM) percaya barisan pemain muda yang akan disenaraikan untuk mewakili negara pada Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei ini mampu bersaing bagi memenangi pingat emas buat kontinjen Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif ABM, Michelle Chai berkata Malaysia sekali lagi akan mempertaruhkan pemain muda bagi membawa cabaran pada temasya dwitahunan itu dengan pasukan terkuat akan menggalas misi pada Piala Sudirman di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei.
"Kami sentiasa percaya semua pemain kami cukup kompetitif tidak kira siapa pun yang disenaraikan. Walaupun kami menghantar pasukan terkuat ke Piala Sudirman, tetapi anda tidak boleh katakan yang pasukan ke Sukan SEA adalah lemah.
"Dua kejohanan berkenaan adalah penting sebagai sebahagian daripada Projek 2024. Kami mahu memberikan pendedahan kepada pemain muda di Sukan SEA untuk penilaian prestasi mereka," kata Michelle selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pemilhan ke Sukan SEA Kemboja, di sini, semalam.
Michelle berkata senarai 20 pemain merangkumi 10 lelaki dan 10 wanita - yang akan ke Kemboja masih belum dimuktamadkan tetapi mengesahkan tiada pemain profesional yang disenaraikan dalam senarai awal 38 pemain.
Antara pemain muda yang dijangka menjadi taruhan utama skuad negara di Kemboja adalah perseorangan lelaki, Justin Hoh dan perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini Azman.
Dalam pada itu, Michelle memberitahu masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran buat skuad negara pada Sukan SEA kali ini kerana perlu menilai dahulu tahap kekuatan pasukan lawan yang turut beraksi di temasya itu nanti.
"Saya rasa sekarang terlalu awal untuk menetapkan (sasaran), kerana kita kena tengok dahulu siapa pencabar kita di Kemboja...sebab yang dihantar di sana adalah pemain muda muda dan Sukan SEA menjadi medan pendedahan untuk mereka," katanya.
Pada Sukan SEA Hanoi, tahun lalu, skuad badminton negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa. Emas disumbangkan beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.