Jumaat, 27 Januari 2023 | 4:31pm
Aksi Aaron-Wooi Yik ketika saingan suku akhir Indonesia Masters hari ini.
Aksi Aaron-Wooi Yik ketika saingan suku akhir Indonesia Masters hari ini.

Aaron-Wooi Yik tumbang

KUALA LUMPUR: Penantian Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk muncul juara dalam saingan Jelajah Dunia BWF terus berpanjangan apabila tersingkir di suku akhir Indonesia Masters, sebentar tadi.

Lebih memeritkan, gandingan itu yang menduduki ranking kedua dunia 'diajar' oleh beregu dari China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong yang hanya menduduki ranking ke-21 dunia.

Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia dan diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan tewas straight set 17-21, 10-21 dalam tempoh 39 minit di Stadium Istora Senayan, Jakarta.

Kekalahan itu menjadikan rekod kemenangan antara mereka kini terikat 1-1 dengan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik diberi tentangan sengit dan diheret ke set penentuan di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 sebelum melakar kemenangan 18-21, 21-12, 21-18.

Kekalahan itu tentunya sesuatu yang tidak diingini beregu utama lelaki negara ini selepas mereka muncul naib juara di Terbuka India minggu lalu apabila tewas di tangan gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-14, 19-21, 18-21.

Aaron-Wooi Yik juga menerima tonik berharga di Indonesia apabila berjaya membalas kekecewaan di tangan gandingan China itu dengan menewaskan mereka di pusingan kedua namun momentum itu tidak dapat diteruskan hari ini.

Indonesia Masters adalah kejohanan ketiga berturut-turut disertai Aaron-Wooi Yik selepas memulakan kempen 2023 dengan langkah kiri apabila terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia.

Di Terbuka Malaysia, Aaron-Wooi Yik tewas straight set 10-21, 21-23 dalam tempoh 41 minit di tangan satu lagi gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Berita Harian X