KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terpaksa membayar harga yang tinggi susulan dua kekalahan di pusingan awal berturut-turut musim ini apabila ranking dunianya jatuh dua anak tangga ke kedudukan nombor empat.
Berdasarkan kemaskini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini, Zii Jia yang sebelum ini berada kedudukan nombor dua dipintas pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting manakala Viktor Axelsen dari Denmark mengekalkan statusnya selaku pemain nombor satu dunia.
Seorang lagi pemain Indonesia, Jonatan Christie naik satu anak tangga apabila kini berada di kedudukan nombor tiga dunia.
Zii Jia yang berpisah dengan jurulatih dari Indonesa, Indra Wijaya pada November tahun lalu tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, dua minggu lalu selepas tewas di tangan pemain sedang meningkat dari Jepun, Kodai Naraoka sebelum ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka India, minggu lalu susulan kekalahan kepada pemain China, Li Shi Feng.
Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih kedudukan ranking tertinggi dalam kerjaya mereka apabila naik satu anak tangga untuk berada di tempat kedua dunia di belakang pasangan Indonesia, Fajar Alfan-Muhamad Rian Ardianto yang kekal selaku gandingan nombor satu.
Kenaikan ranking Aaron-Wooi Yik itu turut dibantu menerusi pencapaian mereka muncul naib juara Terbuka India, kelmarin.
Gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan Terbuka India terkeluar daripada kelompok 10 terbaik apabila menghuni ranking ke-11 manakala pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula turun satu tangga ke kedudukan kesembilan dunia.
Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang mengalami penurunan ranking dua anak tangga minggu lalu, kembali menghuni ranking keenam dunia.
Dalam acara beregu campuran, kedudukan ranking Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terus melonjak apabila kini berada di tangga ke-57 dunia. Mereka berjaya mara sehingga suku akhir Terbuka Malaysia sebelum terkandas pada pusingan kedua Terbuka India.
Turut memperbaiki kedudukan dengan mendadak, pasangan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing yang kini menghuni ranking ke-73 dunia.