Isnin, 23 Januari 2023 | 4:47pm
Aksi Aaron Chia (kanan) and Soh Wooi Yik ketika menentang wakil China, Liang Weikeng and Wang Chang pada saingan final Terbuka India, di New Delhi, semalam. - Foto AFP
Aksi Aaron Chia (kanan) and Soh Wooi Yik ketika menentang wakil China, Liang Weikeng and Wang Chang pada saingan final Terbuka India, di New Delhi, semalam. - Foto AFP

'Rezeki Aaron-Wooi Yik akan tiba juga'

KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen percaya masanya akan tiba buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakhiri penantian bagi meraih gelaran juara dalam saingan Jelajah Dunia BWF sejak digandingkan pada 2017.

Beregu nombor tiga dunia itu terlepas peluang terbaik meraih gelaran pertama mereka apabila tewas dalam pertarungan tiga set di tangan beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-14, 19-21, 18-21 pada aksi final Terbuka India di New Delhi, semalam.

Bagi Bin Shen, biarpun gagal muncul juara tetapi dia tetap berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Aaron-Wooi Yik di di Dewan Tertutup KD Jadhav itu apabila kembali bangkit selepas tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Katanya, apa yang perlu dilakukan anak didiknya itu selepas ini adalah menguatkan lagi mental mereka bagi mengharungi musim yang padat tahun ini terutama apabila pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula pada Mei depan.

"Saya akui perlawanan hari ini (semalam) memang ada rugi sedikit kerana mereka sudah mendahului set ketiga tetapi lawan berjaya kejar semula. Malah set kedua pun hampir menang.

"Saya fikir, ini adalah sebahagian daripada proses dalam perlawanan dan mereka perlu belajar bagaimana untuk mengawal situasi seperti ini. Tahun ini banyak kejohanan dan mereka perlu menguatkan mental kerana akan melalui banyak situasi seperti ini.

"Saya percaya harinya akan tiba untuk mereka (menamatkan penantian muncul juara saingan Jelajah Dunia BWF). Apa yang paling penting adalah mereka percaya dengan kemampuan diri sendiri dan berani untuk berdepan semua cabaran yang bakal dihadapi," kata Bin Shen.

Sejak digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik belum pernah muncul juara dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF apabila tiga kali terkandas di pentas final sebelum ini untuk sekadar muncul naib juara pada saingan Terbuka SaarLorLux di Jerman 2018, Seluruh England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.

Bagaimanapun, mereka berjaya mencipta sejarah menjadi wakil pertama Malaysia merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, tahun lalu selain memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Bin Shen mengesahkan kedua-dua pemain berkenaan akan tetap menyertai saingan Masters Indonesia di Jakarta yang bermula esok.

Tampil sebagai pilihan keempat, Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai kempen di Jakarta menentang pasangan yang layak daripada pusingan kelayakan untuk aksi pusingan pertama.

Berita Harian X