Ahad, 22 Januari 2023 | 10:53am
Pemain negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik ketika bertemu pasangan Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian pada separuh akhir Terbuka India di New Delhi. - AFP
Pemain negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik ketika bertemu pasangan Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian pada separuh akhir Terbuka India di New Delhi. - AFP

Aaron-Wooi Yik buru hadiah tahun baharu

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memburu penamat sempurna sebagai hadiah tahun baharu buat mereka apabila beraksi di final Terbuka India, petang ini.

Pasangan nombor tiga dunia itu dijadual bertemu beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang bagi perebutan gelaran juara yang akan berlangsung di Dewan Tertutup KD Jadhav di New Delhi.

Aksi petang ini juga dianggap peluang terbaik buat Aaron-Wooi Yik menamatkan penantian untuk merangkul gelaran pertama dalam saingan Jelajah Dunia BWF sejak mereka digandingkan pada 2017.

Pasangan itu belum pernah muncul juara kejohanan Jelajah Dunia BWF kecuali ketika menjuarai Kejohanan Dunia 2022 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Aaron-Wooi Yik juga berpeluang menghapuskan badi kekalahan ke atas lawan berkenaan selepas tewas dalam dua pertemuan sebelum ini ketika di Masters Indonesia dan Terbuka Perancis, tahun lalu.

Aaron bagaimanapun, berkata dia dan Wooi Yik tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri sebaliknya akan cuba menampilkan persembahan terbaik dan menikmati perlawanan terakhir mereka di India.

"Ini adalah perlawanan terakhir kami di sini (India), saya dan Wooi Yik mahu menikmati perlawanan. Tidak perlu fikir atau risau terlalu banyak, kami akan cuba tampilkan persembahan terbaik.

"Diharapkan akan ada hadiah tahun baharu buat kami tetapi pada masa sama kami tidak mahu beri tekanan kepada diri sendiri," kata Aaron.

Aaron-Wooi Yik mengesahkan kemaraan ke final selepas mencetuskan kebangkitan sensasi untuk menumbangkan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 11-21, 21-15, 21-16 pada aksi separuh akhir, malam tadi.

Wei Keng-Wang Chang pula mara ke final selepas menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-18, 21-19.

Mengulas mengenai aksi menentang Fajar-Rian, Aaron berkata: "Pada set pertama jelas mereka mengawal permainan dan berjaya membaca corak permainan kami.

"Namun, bermula set kedua kami tidak fikir banyak dan hanya kekal fokus. Kami percaya jika kami boleh kekal fokus, ia akan membantu kami," katanya.

Berita Harian X