Rabu, 18 Januari 2023 | 8:12pm
 Pemain perseorangan negara, Liew Daren ketika bertemu pemain Perancis, Toma Junior Popov pada Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil, minggu lalu. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Pemain perseorangan negara, Liew Daren ketika bertemu pemain Perancis, Toma Junior Popov pada Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil, minggu lalu. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Kecederaan paksa Liew Daren tarik diri Terbuka India

NEW DELHI: Pemain profesional negara, Liew Daren terpaksa akur dengan kecederaan dialaminya pada perlawanan pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka India 2023, di sini hari ini.

Daren yang ketinggalan 9-11 dalam set pertama, menarik diri selepas sembilan minit beraksi menentang wakil Denmark Hans-Kristian Vittinghus di KD Jadha Indoor Hall.

Pemain perseorangan lelaki berusia 35 tahun itu sebelum ini turut menarik diri pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 susulan kecederaan di betis kanan.

Menurut Vittinghus, beliau menyaksikan aksi Daren pada pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lepas, dan sedar pemain Malaysia itu sedang bergelut dengan kecederaan.

"Dia tidak maklumkan apa-apa sebelum perlawanan tapi pergerakannya (dalam gelanggang) tidak baik. Dia nampak seperti tidak pulih sepenuhnya," kata Vittinghus kepada Bernama.

Terdahulu, beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula dengan baik apabila menyingkirkan rakan sepasukan Man Wei Chong-Tee Kai Wun 23-21, 21-10 dan bakal berdepan wakil Taiwan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di pusingan kedua.

Nasib berbeza buat gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie apabila tewas kepada gandingan China Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 21-11, 21-7 dalam perlawanan berlangsung 28 minit.

- BERNAMA

Berita Harian X