Jumaat, 13 Januari 2023 | 7:57pm
Aksi beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika bertemu wakil China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi pada saingan Terbuka Malaysia PETRONAS 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil, semalam. - FotoNSTP/Aswadi Alias
Aksi beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika bertemu wakil China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi pada saingan Terbuka Malaysia PETRONAS 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil, semalam. - FotoNSTP/Aswadi Alias

Aaron-Wooi Yik `tiada jiwa'

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengganggap beregu campuran utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik seakan 'tiada jiwa' ketika menentang lawan dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, semalam.

Kekalahan 10-21, 21-23 di pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 itu nyata mengecewakan Rexy memandangkan kejohanan berlangsung di laman sendiri namun seakan memberikan lawan ranking keenam dunia itu mudah menjinakkan mereka.

"Seharusnya bermain di laman sendiri dengan situasi seperti ini, harus ada konfiden. Kalau lepas (perlawanan itu), mereka ada peluang untuk pergi jauh, cuma pemikiran mereka itu sama ataupun tidak.

"Saya lihat mereka seperti tak ada jiwa, main 'belasah' (di set pertama). Saya sedikit gembira dengan prestasi mereka pada set kedua tetapi mereka tidak mampu untuk mengambil peluang daripada set kedua sehingga lawan mampu mengejar.

"Ini tak boleh diterima. Pihak lawan, apabila mereka sudah jauh meninggalkan, mereka tak beri peluang. Kita pula, mendahului jauh tetapi beri peluang (kepada lawan). Kalau kita (mendahului), sepatutnya buat semaksimum untuk kekang lawan keluar daripada perlawanan itu. Seharusnya mereka sedar dengan perkara ini," kata Rexy.

Semalam, Aaron-Wooi Yik mengucapkan selamat tinggal kepada Terbuka Malaysia 2023 selepas terkandas di pusingan kedua. Beregu lelaki nombor satu negara itu akur tewas di tangan Yu Chen-Xuan Yi 10-21, 21-23 pada aksi yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil.

Sebagai rekod, ini adalah kekalahan ketiga dialami Aaron-Wooi Yik di tangan lawan berkenaan selepas turut tewas ketika saingan peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF dan Terbuka Indonesia tahun lalu.

Kekalahan kali ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian di Terbuka Malaysia tahun lalu dengan mara sehingga separuh akhir.

Berita Harian X