KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terlepas peluang terbaik untuk melangkah ke suku akhir Terbuka Malaysia 2023 selepas tewas di tangan bintang meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka, sebentar tadi.
Pada aksi pusingan kedua yang penuh mendebarkan di Arena Axiata Bukit Jalil itu, Tze Yong yang menang set pertama 21-15 gagal mengekalkan mementumnya biarpun suatu ketika mendahului 19-15 sebelum akhirnya kecundang dengan kekalahan 19-21 sekali gus membolehkan Naraoka mengheret aksi ke set penentuan.
Aksi set ketiga menyaksikan kedua-dua pemain saling mengejar mata namun kemenangan akhirnya memihak kepada pemain Jepun yang berada di ranking ketujuh dunia itu dengan keputusan 21-15.
Ini adalah kekalahan kedua Tze Yong yang berada di ranking ke-25 di tangan Naraoka selepas turut tewas dalam pertemuan pertama mereka ketika Kejohanan Remaja Dunia 2018.
Kekalahan menyaksikan Tze Yong menjadi pemain negara kedua menjadi 'mangsa' Naraoka di Terbuka Malaysia kali ini selepas lawan itu mengejutkan Lee Zii Jia 21-13, 17-21, 19-21 di pusingan pertama, semalam.
Keputusan itu bermakna tiada lagi wakil negara dalam acara perseorangan lelaki di Terbuka Malaysia kali ini selepas Liew Daren yang dijadual beraksi menentang pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan kedua hari ini menarik diri ekoran masalah kecederaan.
Bagaimanapun, kem negara diceriakan dengan kejayaan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas membenam cabaran pasangan ranking ke-12 dunia dari Indonesia, Rehal Naufal-Lisa Ayu Kusumawati 21-19, 21-16.
Mereka yang baru dua bulan lalu digandingkan akan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan kedua dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dengan pasangan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan untuk perebutan tiket ke separuh akhir, esok.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing yang tersingkir di pusingan kedua susulan kekalahan di tangan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 18-21, 21-13, 12-21.