Selasa, 10 Januari 2023 | 4:07pm
Pearly (kiri) terduduk ketika membalas pukulan pemain Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva pada pusingan pertama Badminton Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS.
Pearly (kiri) terduduk ketika membalas pukulan pemain Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva pada pusingan pertama Badminton Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS.

Gandingan adik-beradik singkir Pearly-Thinaah

KUALA LUMPUR: Permulaan musim baharu yang mengecewakan buat beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023, hari ini.

Juara Terbuka Perancis 2022 yang juga pasangan nombor enam dunia dikejutkan dengan kekalahan di tangan pasangan adik-beradik dari Bulgaria yang menghuni ranking ke-14 dunia, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 19-21, 14-21 pada aksi yang berlangsung Arena Axiata Bukit Jalil.

"Hari ini memang tidak menjadi buat kami, pemain lawan beraksi dengan baik. Mereka dapat mengawal tiupan angin dengan baik," kata Pearly selepas tamat perlawanan.

Di sebalik kekalahan mengejutkan itu, Pearly-Thinaah bagaimanapun tekad kembali bangkit untuk menebus kekecewaan menjelang saingan Terbuka India dari 17 hingga 22 Januari ini.

Sementara itu, Thinaah mengakui pihak lawan berjaya memberi tekanan kepada mereka terutama di set kedua.

"Selepas ini kami akan lihat semula apa yang kami perlu baiki. Kekalahan ini sudah menjadi sejarah dan fokus untuk kejohanan seterusnya," katanya.

Beregu campuran, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing bagaimanapun menghadirkan keceriaan buat kem negara apabila mencipta kejutan mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Jepun, Kyohei Yamahshita-Naru Shinoya 21-11, 15-21, 21-19.

Pang Ron-Mei Xing yang muncul Cabaran Antarabangsa Malaysia, bulan lalu akan bertemu pemenang perlawanan antara gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas dengan beregu Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue untuk pemburuan tiket ke suku akhir, Khamis ini.

Berita Harian X