KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mendapat tonik tambahan menjelang saingan Terbuka Malaysia 2023 yang bermula Selasa ini selepas kedudukan ranking dunia mereka melonjak ke tangga keenam.
Pearly, 22, berkata kedudukan ranking terbaharu itu meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka untuk menghasilkan keputusan positif pada Terbuka Malaysia yang menjadi kejohanan pertama bagi musim 2023.
"Namun, pada masa yang sama kami perlu kekal berpijak di bumi yang nyata. Kami hanya mahu fokus kepada diri sendiri dan cuba menampilan persembahan terbaik kami," katanya.
Sementara itu, Thinaah, berkata mereka tidak mahu terbawa-bawa dengan kedudukan ranking terbaharu itu kerana apa lebih penting adalah persiapan mereka bagi menghasilkan keputusan positif di Terbuka Malaysia kali ini.
"Sudan tentu ia beri motivasi kepada kami tetapi ranking adalah sekadar nombor. Apa yang kami harapkan adalah memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.
"Memang kami ada sasaran tersendiri di Terbuka Malaysia tetapi fokus kami adalah satu demi satu perlawanan terlebih dahulu," katanya.
Pearly-Thinaah yang mencipta sejarah muncul beregu wanita pertama negara menjuarai saingan Terbuka Perancis, Oktober tahun lalu akan membuka tirai saingan Terbuka Malaysia di Arena Axiata menentang pasangan adik-beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva di pusingan pertama.
Pada edisi tahun lalu, Pearly-Thinaah terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan beregu China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 19-21, 14-21.