KUALA LUMPUR: Saingan Terbuka Malaysia 2023 hanya berbaki seminggu saja lagi dan bagi beregu lelaki negara, Aaron Chia, persiapan mereka ke arah kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 itu berjalan lancar.
Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik dijadual bertemu beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di pusingan pertama - lawan yang pernah ditewaskan mereka di Terbuka Thailand, tahun lalu.
"Semuanya berada dalam keadaan baik. Hanya tingga lebih kurang seminggu saja lagi tempoh untuk kami mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin," kata Aaron yang bersama Wooi Yik berjaya muncul sebagai juara dunia pertama negara, tahun lalu.
Selain Aaron-Wooi Yik turut berada dalam senarai gandingan beregu lelaki adalah Ong Yew Sin-teo Ee Yi; Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Pada edisi tahun lalu, Aaron-Wooi Yik menamatkan Terbuka Malaysia di pentas separuh akhir apabila tewas di tangan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-23, 9-21.
Mereka seterusnya 'tersangkut' di separuh akhir di Masters Malaysia selepas itu apabila tewas gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 14-21, 21-19, 10-21.
Begitupun, kekecewaan berkenaan mampu ditebus mereka pada Kejohanan Dunia yang berlangsung di Tokyo pada Ogos lalu dengan menewaskan gandingan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 di pentas final sekali gus menghadiahkan gelaran sulung buat negara di pentas dunia.
Aaron dalam pada itu berkata, dia dan Wooi Yik mempunyai tugas yang penting bagi musim ini bagi mendapatkan slot ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
"Tahun ini sangat penting buat kami kerana ia bermula dengan kelayakan ke Olimpik," kata Aaron.