Selasa, 27 Disember 2022 | 5:22pm
Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widiato (tiga dari kiri) memerhati anak buahnya berlatih di Akademi Badminton Malaysia. - NSTP/Owee Ah Chun
Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widiato (tiga dari kiri) memerhati anak buahnya berlatih di Akademi Badminton Malaysia. - NSTP/Owee Ah Chun

Nova mahu anak buah sertai lebih banyak pertandingan

KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu campuran badminton negara, Nova Widianto mahu memastikan dua pasangan tetap beregu campuran negara yang baru digandingkan, dilibatkan dengan lebih banyak kejohanan antarabangsa bagi membantu meningkatkan ranking dunia mereka.

Nova berkata anak buahnya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (ke-148 dunia) dan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing (ke-158 dunia) dalam masa sama perlu mengekalkan prestasi terbaik di gelanggang sebagai usaha mengumpul mata pada siri kejohanan kelayakan bagi merebut slot ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 1 Mei depan.

"Kedua-dua pasangan itu sudah dijadikan gandingan campuran tetap untuk kelayakan ke Olimpik 2024, jadi tidak jadi masalah kalau dimulai dengan kejohanan kecil dahulu seperti taraf Super 100 ataupun Campuran Antarabangsa untuk tambah mata ranking dunia dan membolehkan bermain di kejohanan bertaraf lebih tinggi.

"Jadi mereka memang kena kejar kejohanan kecil dulu dan saya yakin boleh menang kerana Tang Jie-Ee Wei sudah buktikan dengan kemenangan di Bangladesh. Tiap kali ada peluang sertai kejohanan, kita akan terus berangkat ke sana," katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini hari ini.

Percaturan menggandingkan Tang Jie-Ee Wei baru-baru ini membuahkan hasil selepas menewaskan pasangan Thailand Phatharathorn Nipornam-Alisa Sapniti 21-15, 21-13, sekali gus muncul Juara Beregu Campuran Cabaran Antarabangsa Bangladesh di Stadium Tertutup Shahid Tajuddin Ahmed, Dhaka pada 11 Disember lalu.

Pang Ron-Mei Xing pula menjuarai Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia selepas menewaskan rakan senegara Tang Jie-Ee Wei di Arena Badminton Perak, Ipoh, pada 18 Disember lalu.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 45 tahun itu optimis Tang Jie- Ee Wei mampu memberi tentangan sengit kepada pasangan campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang juga pilihan keenam kejohanan Terbuka Malaysia 2023, yang akan berlangsung pada 10 hingga 15 Januari ini.

"Mereka (Tang Jie-Ee Wei) harus yakin ketika bermain dalam gelanggang sebab saya rasa kalau mereka berkeyakinan pasti akan menang. Namun, mereka ini masih baru jadi kita tidak mahu terlampau memberi tekanan dan jangkaan yang tinggi," katanya.

Nova dilantik sebagai jurulatih beregu campuran negara Rabu lalu bagi mengisi kekosongan jawatan itu selepas Paulus Firman meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada April.

Beliau bersama Liliyana Natsir pernah menjuarai Kejohanan Dunia pada 2005 dan 2007 selain meraih pingat perak Sukan Olimpik 2008 dan antara gandingan campuran terhebat ketika itu. - BERNAMA

Berita Harian X