KUALA LUMPUR: Dua beregu profesional negara mengesahkan tempat ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Bangkok, hari ini.
Pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mengejutkan pilihan utama kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam tiga set pada aksi terakhir Kumpulan A.
Yew Sin-Ee Yi bergelut pada awal permainan apabila tewas 10-21 pada set pertama sebelum berjaya bangkit mengatasi pasangan di ranking ketiga dunia itu dengan kemenangan 21-17 pada set kedua.
Momentum kebangkitan diteruskan Yew Sin-Ei Yi pada set ketiga apabila mereka menutup perlawanan dengan kemenangan 21-19.
"Mereka memang beraksi dengan baik sepanjang tahun ini, namun kami tidak memikirkan mengenai prestasi mereka sebelum ini.
"Kami juga tak fikir mengenai keputusan sama ada menang atau kalah kerana yang penting kami berikan yang terbaik dan akhirnya kami menang," kata Ee Yi.
Sementara itu beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut cemerlang apabila menewaskan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-17-22-20, sekali gus melangkah ke separuh akhir.
Pasangan negara itu muncul naib juara kumpulan B di belakang pasangan Thailand yang juga pilihan kedua kejohanan, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.