KUALA LUMPUR: Juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlepas tiket ke separuh akhir saingan Jelajah Dunia Akhir BWF susulan kekalahan kedua dialami mereka dalam saingan Kumpulan B, sebentar tadi.
Beregu lelaki utama negara itu terpaksa akur apabila tewas di tangan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-23, 24-22, 16-21 dalam aksi mendebarkan yang berlangsung di Arena Nimibutr di Bangkok, Thailand, sebentar tadi.
Semalam, Aaron-Wooi Yik turut tewas dalam aksi pembukaan di tangan beregu berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.
Walaupun menang aksi terakhir kumpulan menentang pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, namun ia lebih kepada penyelamat maruah untuk mereka bagi mengelak mengakhiri saingan kumpulan di tangga tercorot.
Ahsan-Hendra dan Yu Chen-Xuan Yi masing-masing sudah pun mengesahkan tiket ke separuh akhir menerusi dua kemenangan diraih setakat ini dan akan membuat perhitungan bagi penentuan gelaran juara dan naib juara kumpulan.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mencipta sensasi mengejutkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dongping pada aksi pembukaan semalam gagal mengekalkan momentum itu apabila tewas di tangan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 9-21, 11-21 dalam saingan Kumpulan B.
Mereka wajib menang ke atas satu lagi beregu Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand dalam aksi terakhir kumpulan, esok bagi mengintai peluang ke kelompok empat terbaik.
Satu lagi beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut terlepas tiket ke separuh akhir selepas mengalami kekalahan kedua dalam saingan Kumpulan A apabila tunduk kepada juara Eropah dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-16, 18-21, 17-21.
Pasangan itu akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, esok.
Dalam saingan beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin turut gagal melepasi peringkat kumpulan apabila tewas di tangan beregu Thailand, Benyapa Aimsaard- Nuntakarn Aimsaard 9-21, 12-21 dalam saingan Kumpulan A dan akan menutup tirai kempen menentang Jonkolphan Kititharakul- Rawinda Prajongjai.