Selasa, 6 Disember 2022 | 6:16pm
Aksi Pearly Tan-M Thinaah pada saingan Terbuka Perancis di Paris, penghujung Oktober lalu. - Foto ihsan FB BAM.
Aksi Pearly Tan-M Thinaah pada saingan Terbuka Perancis di Paris, penghujung Oktober lalu. - Foto ihsan FB BAM.

Pearly-Thinaah diundi dalam `kumpulan maut' Jelajah Dunia

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berdepan laluan mencabar apabila diundi dalam 'kumpulan maut' pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 yang akan bermula esok di Bangkok, Thailand.

Pasangan nombor sembilan dunia itu diundi dalam Kumpulan B bersama dua wakil China iaitu juara dunia tiga kali Chen Qing Chen-Jia Yi Fan serta beregu nombor tujuh dunia, Zhang Shu Xian-Zheng.

Mereka yang muncul juara Terbuka Perancis, Oktober lalu turut diundi bersama pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia dalam kumpulan sama.

"Undian cukup berat buat Pearly-Thinaah, tetapi saya harap dengan prestasi mereka sejak kebelakangan ini, mereka dapat bersaing dengan tiga pasangan terbaik dunia dalam kumpulan mereka," kata Pengarah Prestasi Tinggi Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Satu lagi beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula diletakkan dalam kumpulan A bersama dua wakil tuan rumah, Benyapa dan Nuntakarn Aimsaard serta Jonkolphan Kititharakul- Rawinda Prajongjai, dan Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dari Korea Selatan.

Sementara itu, saingan beregu lelaki menyaksikan pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diundi dalam Kumpulan B bersama pasangan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark).

"Untuk Aaron dan Wooi Yik pula, saya harap mereka juga dapat melepasi peringkat kumpulan," kata Rexy.

Pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula berada dalam Kumpulan A bersama beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun) dan Choi Sol Gyu-Kim Won Ho (Korea Selatan).

Tahun lalu di Bali, Indonesia, Ee Yi-Yew Sin menjadi wakil tunggal negara layak ke kejohanan akhir musim itu dan perjalanan mereka terhenti di separuh akhir.

Dalam saingan beregu campuran, dua lagi wakil negara turut berdepan laluan mencabar apabila Goh Soon Huat-Shevon Lai akan berentap dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China selain juara Eropah, Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis serta pemenang pingat emas sukan Sea 2022, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia dalam Kumpulan A.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula bakal berdepan dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China; pasangan nombor 26 dunia, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dan penyandang juara, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dalam Kumpulan B.

Berita Harian X