KUALA LUMPUR: Kalendar badminton tahun ini bakal melabuhkan tirainya dengan penganjuran Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 yang akan berlangsung di Bangkok bermula Rabu ini.
Sebanyak 24 pusingan kelayakan berlangsung di seluruh dunia termasuk 19 kejohanan Jelajah Dunia bermula dengan Terbuka India pada Januari yang menampilkan lapan pemain dan lapan gandingan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia.
Pemain akan berentap untuk hadiah keseluruhan berjumlah RM6.55 juta selain mata ranking dunia.
Sekalipun tidak memiliki wakil bagi kategori perseorangan lelaki dan perseorangan wanita, Malaysia akan membawa cabaran bagi kategori beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Dua gandingan negara akan berentap bagi kategori beregu lelaki iaitu Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi yang turut diiringi juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Pencapaian terbaik Yew Sin-Ee Yi adalah naib juara Terbuka Australia serta finalis pada Terbuka Denmark dan Terbuka India.
Aaron-Wooi Yik pula muncul semifinalis dalam enam kejohanan iaitu Terbuka Indonesia, Terbuka Malaysia, Terbuka Denmark, Terbuka Thailand, Malaysia Masters dan Terbuka Switzerland.
Beregu wanita pula, menampilkan Vivian Hoo-Lim Chiew Sin yang berjaya menjadi semifinalis Terbuka Switzerland serta beregu wanita sensasi, Pearly Tan- M Thinaah yang mengungguli Terbuka Perancis serta semifinalis Terbuka Thailand, Masters Indonesia dan Masters Malaysia.
Bagi kategori bergeu campuran pula menyaksikan gandingan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai serta Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing.
Soon Huat-Jemie Lai muncul naib juara Terbuka Switzerland selain semifinalis Terbuka Denmark, Terbuka Singapura dan Masters Korea manakala Kian Meng-Pei Jing mengungguli Terbuka Korea dan semifinalis Terbuka India dan Terbuka Switzerland.