Rabu, 30 November 2022 | 9:07pm
Zii Jia berpisah dengan jurulatihnya, Indra Wijaya Isnin lalu.
Zii Jia berpisah dengan jurulatihnya, Indra Wijaya Isnin lalu.

Zii Jia tetap perlukan jurulatih

KUALA LUMPUR: Kalau mahu jadi juara dunia, mesti ada jurulatih!

Itu pandangan disuarakan bekas pemain badminton kebangsaan, Datuk James Selvaraj berhubung keputusan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang didakwa mahu meneruskan kerjayanya tanpa jurulatih selepas berpisah dengan Indra Wijaya.

"Zii Jia tetap perlukan jurulatih untuk beritahu apa kelemahan dia, kelebihan dan yang paling penting cara bagaimana untuk dia menewaskan lawannya. Kehadiran jurulatih juga penting untuk merancang program latihan terbaik untuk dia melonjakkan prestasinya.

"Jadi, apabila dia katakan tidak memerlukan jurulatih, saya melihat ia sesuatu yang akan menyukarkan dirinya untuk bersaing di peringkat tertinggi," katanya.

James berharap pemain nombor dua dunia itu dapat mengubah keputusannya dan melantik jurulatih baharu secepat yang mungkin ketika hanya berbaki sebulan lebih sebelum saingan musim 2023 membuka tirai bermula dengan Terbuka Malaysia dari 10 hingga 15 Januari.

"Mahu atau tidak, sepanjang ketiadaan jurulatih ini, Zii Jia perlu melipat gandakan usaha dalam latihannya bersama rakan sepelatih untuk membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan pertama tahun depan.

"Namun, saya berharap dia akan lantik jurulatih yang lain. Zii Jia adalah seorang pemain yang berbakat dan dia memerlukan seorang individu yang boleh melatihnya untuk menjadi jaguh dunia," katanya.

Isnin lalu, pengurus yang juga kakak kepada Zii Jia, Lee Zii Yii dan Indra yang berasal dari Indonesia mengesahkan mereka mencapai persetujuan bersama untuk berpisah.

Indra dilaporkan, berkata keputusan itu dibuat itu hasil daripada perbincangan, Jumaat lalu dan dia sendiri berasa terkejut.

"Jumaat lalu ada perbincangan dengan pengurus dan Zii Jia sendiri dan mereka memutuskan untuk mencuba cara dan pengalaman baru bergerak tanpa jurulatih.

"Itu alasan diberikan berdasarkan perbincangan berkenaan dan saya faham serta mengerti apa yang dimahukan Zii Jia. Saya menghargai setiap perancangan ingin dilaksanakannya dan kami berpisah dengan cara baik," kata Indra yang pernah berkhidmat bersama BAM.

Berita Harian X