KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terus mengibarkan cabaran negara di Terbuka Australia selepas berjaya mengesahkan tiket ke final, hari ini.
Kejayaan itu hadir selepas pasangan nombor lapan dunia berkenaan bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan beregu China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong 14-21, 21-17, 21-18 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di State Sports Centre di Sydney.
Sebagai rekod, ia adalah pentas final pertama buat Ee Yi-Yew Sin dalam siri Jelajah Dunia BWF tahun ini.
Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021 itu akan menentang satu lagi beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi bagi perebutan gelaran juara, esok.
Sementara itu, hasrat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk mara ke final Jelajah Dunia buat kali pertama tahun ini tidak kesampaian selepas tersingkir di separuh akhir.
Pemain berusia 22 tahun itu terpaksa akur apabila tewas di tangan bintang meningkat naik dari China, Lu Guang Zu 18-21, 15-21.
Kemenangan itu menyaksikan Guang Zu yang menewaskan perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia pada pusingan kedua Khamis lalu akan membuat perhitungan dengan pemenang perlawanan antara rakan senegara, Shi Yuqi dengan Kodai Naraoka dari Jepun bagi perebutan gelaran juara hari ini.
Bagi Tze Yong, pencapaian ke separuh akhir membuka ruang untuk mencapai sasarannya untuk berada dalam kelompok ranking 32 terbaik dunia hujung tahun ini.
Ketika ini, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berada di kedudukan ke-33 dunia.
Tze Yong wajib berada dalam kelompok 32 terbaik dunia sebelum hujung tahun ini bagi membolehkan dia beraksi dalam kejohanan bertaraf Super 1000 tahun depan termasuklah Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung Januari depan.
Pemain yang mendapat bimbingan Hendrawan itu turut disenaraikan untuk menyertai Cabaran Antarabangsa Bahrain bermula dari 29 November hingga 4 Disember sebagai 'pelan b' untuk melonjakkan kedudukan ranking dunianya.