KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong memastikan wakil Malaysia kekal bersaing bagi memburu gelaran juara Terbuka Australia dalam acara itu selepas mengesahkan tiket ke separuh akhir, hari ini.
Tze Yong, 22, mengekalkan momentumnya apabila tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan pemain tuan rumah, Nathan Tang 21-9, 21-7 pada aksi suku akhir yang berlangsung State Sports Centre di Sydney itu.
Bagaimanapun, pemain ranking ke-33 dunia itu berdepan ujian getir dalam misi memburu tiket ke final selepas dijadual bertemu bintang meningkat naik dari China, Lu Guang Zu pada aksi separuh akhir, esok.
Guang Zu mara selepas menundukkan pemain Indonesia, Leonardo Imanuel Rumbay 21-12, 21-9 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Semalam, Guang Zu mencipta kejutan apabila menyingkirkan pemain perseorangan lelaki profesional negara yang juga pilihan pertama, Lee Zii Jia di pusingan kedua sekali gus mengesahkan tiket beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok, Thailand bulan depan.
Pencapaian Tze Yong di Sydney kali ini hampir pasti merealisasikan misinya untuk berada di kedudukan ranking ke-32 dunia menjelang akhir tahun ini bagi membolehkan dia beraksi di kejohanan bertaraf Super 1000, musim depan.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei yang terpaksa akur tewas di tangan pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong.
Juara remaja dunia dua kali itu tewas dengan keputusan 11-21, 13-21 sekali gus gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir.