Rabu, 9 November 2022 | 7:44pm
Gambar fail - Pemain perseorangan profesional negara, Zii Jia. - Foto AFP
Gambar fail - Pemain perseorangan profesional negara, Zii Jia. - Foto AFP

Zii Jia sertai Terbuka Australia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia akan menyertai Terbuka Australia di Sydney yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 20 November ini.

Perkara itu dikongsikan pengurus yang juga kakak kepada pemain nombor dua dunia itu, Lee Zii Yii, hari ini.

"Semuanya sudah disahkan dan Zii Jia akan menyertai Terbuka Australia," kata Zii Yii menerusi kiriman Whatsapp kepada pemberita, hari ini. "Dia akan cuba melakukan yang terbaik dan diharap kami mampu meraih satu hasil yang baik."

Zii Yii sebelum ini berkata, pihak pengurusan masih belum dapat membuat kata putus mengenai penyertaan di Sydney berikutan mereka masih dalam proses permohonan visa yang agak rumit.

Pada akhir bulan lalu, Zii Jia, memutuskan untuk menarik diri daripada saingan Terbuka Hylo di Jerman, dipercayai ia mempunyai kaitan dengan pemergian datuknya yang dilaporkan meninggal dunia sebelum itu.

Sehari selepas itu, Zii Jia tersingkir di pusingan pertama Terbuka Perancis di Paris selepas tewas di tangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.

Sebelum itu, dia berjaya mara ke pentas final Terbuka Denmark di Odense sebelum tunduk di tangan pemain China, Shi Yuqi untuk akur dengan gelaran naib juara.

Setakat musim ini, Zii Jia sudah meraih dua gelaran iaitu di Kejohanan Badminton Asia di Manila, Filipina pada April lalu selepas menewaskan pemain Indonesia, Jonatan Christie, 21-17, 23-21.

Satu lagi gelaran diraihnya adalah di Terbuka Thailand di Bangkok pada Mei, menyaksikan dia menundukkan pemain China, Li Shi Feng 17-21, 21-11, 23-21 dalam tempoh satu jam 10 minit.

Berita Harian X