Selasa, 27 September 2022 | 3:45pm
 Lee Zii Jia ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, 25 Ogos lalu. - Foto AFP.
Lee Zii Jia ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, 25 Ogos lalu. - Foto AFP.

Zii Jia kini nombor tiga dunia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia semakin menghampiri misinya untuk muncul dua pemain ranking teratas dunia.

Ini selepas kedudukan pemain berusia 24 tahun itu melonjak satu anak tangga di ranking nombor tiga dunia apabila mengumpul 91,578 mata berdasarkan kemaskini terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.

Juara Asia itu mengambil alih tempat pemain Denmark, Anders Antonsen yang merampas kedudukan nombor dua dunia dari bintang Jepun, Kento Momota.

Antonsen berada di kedudukan kedua apabila mengumpul 92,700 mata manakala Momota yang masih bergelut dengan prestasi tidak menentu turun tiga anak tangga, ke kedudukan nombor lima dunia dengan 86,704 mata.

Pemain Taiwan, Chou Tien Chen turut naik satu anak tangga di kedudukan nombor empat dunia selepas mengumpul 89,576 mata.

Juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen kekal sebagai pemain nombor satu dunia dengan 122,606 mata.

Zii Jia sebelum ini menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok dua teratas dunia menjelang hujung tahun ini.

Dia yang dibimbing jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya berpeluang untuk merealiasasikan misinya itu sekiranya berjaya menghasilkan keputusan positif pada penyertaan di Terbuka Denmark yang bermula 18 hingga 23 Oktober sebelum beraksi di Terbuka Perancis 25 hingga 30 Oktober.

Juara Seluruh England 2021 itu turut dijangka beraksi di Terbuka Hylo di Jerman pada 1 hingga 6 November dan Terbuka Australia 15 hingga 20 November.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong turut melonjak satu anak tangga apabila kini berada di kedudukan ranking ke-35 dunia dengan 42,384 mata.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu sebelum ini meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 30 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini bagi membolehkan dia secara automatik layak beraksi dalam undian utama kejohanan besar bermula Januari tahun depan.

Bagi acara beregu lelaki, pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul juara dunia, bulan lalu kekal di kedudukan ranking nombor lima dunia apabila mengumpul 90,328 mata.

Dua lagi pasangan negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Nur Izuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut berada dalam kelompok 10 terbaik dunia selepas masing-masing kekal di kedudukan nombor sembilan dan ke-10 dunia.

Ee Yi-Yew Sin yang juga pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia tahun lalu mengumpul 72,490 mata manakala Izzuddin-Sze Fei dengan 69,735 mata.

Berita Harian X