Isnin, 26 September 2022 | 4:29pm
Pemain Selangor, Siti Nurshuhaini Azman meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara perseorangan wanita badminton temasya SUKMA XX MSN 2022 di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, minggu lalu. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Pemain Selangor, Siti Nurshuhaini Azman meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara perseorangan wanita badminton temasya SUKMA XX MSN 2022 di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, minggu lalu. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Nurshuhaini tekad cetus impak kejohanan remaja dunia di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita muda negara, Siti Nurshuhaini Azman tekad mahu mencetuskan impak positif dalam penampilan sulungnya pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Sepanyol bermula 24 hingga 30 Oktober ini.

Siti Nurshuhaini, 18, berkata kejayaan memenangi pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 meningkatkan lagi tahap keyakinannya bagi membawa cabaran negara di Santander nanti.

"Saya sedar persaingan di Kejohanan Remaja Dunia nanti tidak mudah dan saya akan cuba buat yang terbaik. Saya perlu bekerja keras dalam latihan untuk memastikan saya dapat bersaing dengan pemain dari negara lain.

"Saya lihat pemain dari Indonesia dan Thailand antara yang perlu diberi perhatian. Insya-Allah kalau rezeki bukan sesuatu yang mustahil saya boleh mara sehingga ke final tetapi saya mahu fokus terlebih dahulu satu demi satu perlawanan," katanya.

Siti Nurshuhaini yang mewakili Selangor berjaya memenangi pingat emas selepas menewaskan rakan senegeri, K Letshanaa dalam aksi final, Ahad lalu.

Pada Kejohanan Remaja Dunia kali ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan 17 pemain yang akan menggalas cabaran negara di Santander.

Selain Siti Nurshuhaini, pemain perseorangan lelaki, Justin Hoh yang akan membuat penampilan pertama dan terakhir di kejohanan berkenaan turut menjadi sandaran bagi menghadiahkan kilauan pingat buat skuad remaja negara.

Selain kedua-dua pemain berkenaan, pemain lain seperti Aaron Tai, Ong Xin Yee, Siti Zulaikha Azmi dan Carmen Ting juga menjadi sandaran Malaysia.

Senarai Pemain:

Lelaki - Justin Hoh (18), Eogene Ewe (18), Ariffin Nazri (18), Choi Jian Sheng (18), Wong Vin Sean (18), Bryan Jeremy Goonting (17), Fazriq Razif (17), Low Han Chen (17), Aaron Tai (16).

Perempuan - Siti Nurshuhaini Azman (18), Lee Xin Jie (18), Vannee Gobi (17), Chong Jie Yu (17), Lai Ting Cen (17), Ong Xin Yee (16), Siti Zulaikha Azmi (16), Carmen Ting (16).

Berita Harian X