Selasa, 20 September 2022 | 2:30pm
Pemain Wilayah Persekutuan, Chan Yiwei (kiri) dan pemain Kedah, Ong Sai Hung bergambar bersama pingat emas masing-masing di Pusat Skuasy, Jalan Duta. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pemain Wilayah Persekutuan, Chan Yiwei (kiri) dan pemain Kedah, Ong Sai Hung bergambar bersama pingat emas masing-masing di Pusat Skuasy, Jalan Duta. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Yiwei tamatkan dominasi Kedah

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy Wilayah Persekutuan, Chan Yiwei menamatkan dominasi Kedah dalam acara perseorangan wanita di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) apabila berjaya memenangi pingat emas pada edisi 2022, hari ini.

Kejayaan berkenaan hadir selepas juara remaja Asia dua kali itu mengatasi wakil Kedah, Aira Azman 3-2 dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Skuasy Jalan Duta.

Yiwen bermula dengan baik apabila menang set pertama 11-3, namun Aira berjaya memenangi dua set berikutnya 11-8, 11-3.

Bagaimanapun, Yiwen kembali bangkit apabila menang set keempat dan kelima 11-5, 11-4 sekali gus mengesahkan emas pertama buat dirinya dalam acara perseorangan wanita sejak mula beraksi di pentas SUKMA pada 2016.

Pencapaian itu juga menyaksikan Yiwen menebus kekecewaan empat tahun lalu apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara berkenaan selepas tewas di tangan kakak Aira, Aifa Azman dalam aksi final SUKMA 2018 di Ipoh, Perak.

"Saya tidak selesa pada bahagian betis pada awal perlawanan. Saya juga lebih banyak fikirkan keadaan badan daripada permainan sendiri.

"Saya mula hilang fokus menyebabkan saya tewas pada set kedua dan ketiga. Namun, rakan-rakan beritahu saya ia bukan pengakhiran dan percaya dengan diri sendiri.

"Akhirnya saya berjaya mencuri satu pingat emas Kedah hari ini. Saya tidak mahu terlepas emas lagi memandangkan ini adalah SUKMA terakhir," kata Yiwen yang berada di ranking ke-74 dunia.

Emas perseorangan wanita di pentas Sukma sebelum ini didominasi sepenuhnya Pulau Pinang menerusi Datuk Nicol Ann David (1998, 2000, 2002), Low Wee Wern (2006, 2008, 2010), Low Wee Nee (2012) dan Vanessa Raj (2014).

Dua tahun selepas itu, giliran Kedah menguasai pentas SUKMA selama dua edisi berturut-turut menerusi S. Sivasangari pada 2016 dan Aifa empat tahun lalu.

Bagaimanapun, kekecewaan Kedah diubati dengan kejayaan memenangi emas dan perak individu lelaki selepas Ong Sai Hung menang 3-1 ke atas Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif (11-7, 11-5, 5-11, 11-6).

Berita Harian X