Selasa, 30 Ogos 2022 | 1:58pm
Aksi Thinaah (belakang) dan Pearly ketika menewaskan beregu Korea Selatan di Terbuka Jepun hari ini.
Aksi Thinaah (belakang) dan Pearly ketika menewaskan beregu Korea Selatan di Terbuka Jepun hari ini.

Pearly-Thinaah kejutkan beregu nombor dua dunia

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah memulakan Terbuka Jepun 2022 dengan langkah kanan apabila mengejutkan pasangan ranking kedua dunia dari Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan pada pusingan pertama, sebentar tadi.

Pearly-Thinaah yang berada di tangga ke-11 dunia membenam lawan yang pernah meraih pingat perak di Kejohanan Dunia di Huelva 2021 itu 16-21, 21-14, 21-18 dalam tempoh 1 jam 1 minit di Arena Maruzen Intec, Osaka.

Kemenangan diraih dalam pertembungan pertama antara Pearly-Thinaah dan So Hee-Seung Chan ini menyaksikan gandingan negara itu dijadual bertemu sama ada Baek Ha Na-Lee Yu Lim (Korea Selatan) ataupun Ashwini Bhat K.-Shikha Gautam dari India di pusingan kedua.

Pada minggu lalu, Pearly-Thinaah yang meraih emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 terkandas di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo apabila tewas kepada beregu tuan rumah, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 21-16, 21-16.

Turut mengekori jejak Pearly-Thinah ialah Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang menewaskan Linda Efler-Isabel Lohau 21-17, 23-21 dalam tempoh 56 minit sekali gus merekodkan kemenangan kedua mereka ke atas gandingan Jerman itu selepas pertemuan kali pertama di pusingan pertama Kejohanan Dunia, minggu lalu.

Langkah kedua-dua beregu ini bagaimanapun tidak dapat diekori satu lagi wakil negara, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing yang ditunjuk jalan keluar oleh beregu China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting 9-21, 14-21.

Dalam perkembangan lain, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tewas di tangan beregu ranking ke-18 dunia dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dalam perlawanan yang berlangsung selama 1 jam.

Sze Fei-Izzuddin yang berada di ranking ke-12 dunia dan pernah meraih gangsa di Kejohanan Asia di Manila 2022, tewas 17-21, 21-18, 19-21 pada pertembungan ketiga antara mereka.

Kekalahan itu menyaksikan Shohibul-Bagas kini semakin merapatkan jurang rekod kemenangan kepada 1-2 dalam tiga pertembungan. Sebelum ini, Sze Fei-Nur Izzuddin menewaskan lawan itu masing-masing di Terbuka Indonesia 2021 dan Masters Thailand 2019.

Dalam pada itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei berjaya menjinakkan rakan seperjuangan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei, 23-21, 22-24, 21-17 dalam satu pertarungan cukup sengit yang berlangsung selama 1 jam empat minit.

Berita Harian X