Ahad, 7 Ogos 2022 | 7:55am
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong melakukan kejutan terbesar pada temasya Sukan Komanwel 2022 Birmingham apabila menyingkirkan juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura pada saingan suku akhir. - Foto AFP
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong melakukan kejutan terbesar pada temasya Sukan Komanwel 2022 Birmingham apabila menyingkirkan juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura pada saingan suku akhir. - Foto AFP

Tze Yong singkir juara dunia Kean Yew

BIRMINGHAM: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong melakukan kejutan terbesar pada temasya Sukan Komanwel 2022 Birmingham apabila menyingkirkan juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura pada saingan suku akhir.

Pemain berusia 22 tahun itu menampilkan semangat juang tinggi untuk bangkit semula selepas ketinggalan set pertama sebelum membenam Kean Yew 15-21, 21-14, 21-11, sekali gus melakar kemenangan sulung dalam tiga pertemuan dengan pemain dari Singapura itu.

Pada saingan separuh akhir, Tze Yong, pemain ranking ke-42 dunia, sekali lagi akan berdepan pemain India, Kidambi Srikanth.

Tze Yong menewaskan Srikanth 21-19, 6-21, 21-16 dalam misi membantu Malaysia mengalahkan India 3-1 untuk merangkul emas acara berpasukan campuran, Selasa lalu, (2 Ogos).

Srikanth mara ke separuh akhir dengan menyingkirkan pemain pilihan tuan rumah, Toby Penty 21-19, 21-17 pada satu lagi perlawanan suku akhir.

Sementara itu, pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei menemukan jalan penghujung selepas tewas 19-21, 21-14, 21-18 kepada juara dunia, Pusarla V Sindhu dari India.

Goh Jin Wei ketika beraksi menentang pemain India, Pusarla V Sindhu. - NSTP/Aswadi Alias
Goh Jin Wei ketika beraksi menentang pemain India, Pusarla V Sindhu. - NSTP/Aswadi Alias

Beregu lelaki pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan mudah melangkah ke separuh akhir selepas mengalahkan wakil Uganda, Brian Kasirye-Daniel Wanagaliya 21-6, 21-12.

Beregu negara itu akan berdepan dengan pemenang antara beregu England, Ben Lane-Sean Vendy dan Pham Tran Hoang-Jack Yu dari Australia di peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, Malaysia menempuh nasib berbeza dalam acara beregu campuran, apabila pasangan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengalahkan pasangan England, Callum Hemming-Jessica Pugh, 22-20, 21-11 sementara pasangan negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See tewas 15-21, 19-21 kepada Adam Hall-Julie Macpherson dari Scotland.

Bagaimanapun, Peng Soon boleh menarik nafas lega apabila gandingannya dengan Kian Meng dalam acara beregu lelaki berjaya menundukkan Sachin Dias-Buwaneka Goonetilleka dari Sri Lanka 21-16, 21-12 untuk mara ke separuh akhir.

Peng Soon-Kian Meng akan menentang Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty selepas pasangan utama India itu menewaskan pasangan Australia, Jacob Schueler-Nathan Tang, 21-9, 21-11, dalam satu lagi perlawanan suku akhir. - BERNAMA

Berita Harian X