Sabtu, 23 Julai 2022 | 7:00pm
Aifa akan tampil beraksi buat kali kedua di Sukan Komanwel.
Aifa akan tampil beraksi buat kali kedua di Sukan Komanwel.

Aifa lebih teruja ke Birmingham

KUALA LUMPUR: Kurang seminggu lagi sebelum Sukan Komanwel Birmingham 2022 membuka tirai secara rasmi pada 28 Julai ini dan bagi atlet skuasy wanita negara, Aifa Azman, dia kini sudah bersedia untuk mengharungi penyertaan kali kedua di temasya berkenaan.

Aifa yang berusia 20 tahun berkata, dia kini sudah semakin matang berbanding di Gold Coast 2018 selain menyifatkan tahap permainannya pada ketika ini lebih baik daripada penyertaan sulungnya empat tahun lalu.

"Teruja sebab kali ini, Aifa ke Komanwel dengan ranking dunia yang lebih baik berbanding dulu (Gold Coast) masih lagi muda dalam usia 16 atau 17 tahun.

"Kali ini lebih matang dan saya boleh katakan di sepanjang tempoh itu, saya sudah banyak menunjukkan peningkatan, baik daripada sudut ranking dunia mahupun permainan skuasy," kata Aifa yang kini berada di ranking ke-24 dunia.

Pada penyertaan di Gold Coast, Australia empat tahun lalu, Aifa menamatkan saingan perseorangan di pusingan 16 terbaik apabila tewas di tangan pemain Wales, Tesni Evans 7-11, 1-11, 11-6, 8-11.

Dalam acara beregu campuran pula, Aifa yang bergandingan bersama Sanjay Singh terkandas di pusingan 16 terbaik di tangan pasangan India, Dipika Pallikal Karthik-Daurav Ghosal 11-7, 6-11, 8-11.

Namun pada penyertaan kali ini, Aifa dijadual menggalas tugas dalam acara beregu wanita bersama Rachel Arnold apabila gandingan asal, S Sivasangari terpaksa menarik diri selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya selain turut menyertai acara perseorangan.

"Saya sepatutnya menyertai acara beregu campuran tetapi Sivasangari terpaksa menarik diri. Sekarang, saya menyertai beregu wanita bersama Rachel dan kami baru berlatih dalam tiga minggu bersama.

"Apapun, kami harap dapat melakukan yang terbaik di Komanwel nanti. Sebelum ini Rachel dan Sivasangari disasarkan pingat di Komanwel tetapi sasaran itu masih kekal walaupun bertukar gandingan. Begitupun, saya harap boleh melakukan yang terbaik nanti," katanya.

Berita Harian X