Khamis, 14 Julai 2022 | 9:11pm
Gambar fail - Pemain skuasy negara, Aifa Azman. - Foto BERNAMA
Gambar fail - Pemain skuasy negara, Aifa Azman. - Foto BERNAMA

Kejayaan Aifa diiktiraf kejutan terbesar musim 2021-22

KUALA LUMPUR: Jelajah Dunia PSA, siri kejohanan utama bagi pemain skuasy profesional menutup tirai musim 2021-22 baru-baru ini dan apa yang menarik, kejayaan pemain negara, Aifa Azman menjuarai Terbuka Malaysia disenarai antara kejutan terbesar yang dilakar sepanjang musim.

Aifa yang berusia 19 tahun ketika itu, tidak diberikan sebarang harapan untuk memenangi Terbuka Malaysia di Arena Nicol David, Bukit Jalil pada November lalu apatah lagi dia hanya menduduki tangga ke-69 dunia.

Namun gadis manis berasal dari Kedah yang kini menghuni ranking ke-24 dunia, melupakan segala kekurangannya sebelum menguasai kejohanan bertaraf gangsa yang menampilkan lima daripada 20 pemain terbaik dunia.

Satu demi satu pencabar ditumbangkan pemain yang tampil beraksi dengan tiket wild-card itu sekalipun pada awalnya sukar untuk meramalkan dia mampu pergi jauh.

Aifa bermula dengan kemenangan 3-0 ke atas pemain nombor 47 dunia Mayar Hany dari Mesir sebelum memukau peminat dan pemerhati apabila bangkit daripada ketinggalan 1-2 sebelum menundukkan seorang lagi pemain Mesir, Yathreb Adel yang juga pilihan ketiga pada pusingan kedua.

Kemudian giliran pemain nombor 35 dunia Hana Ramadan (Mesir) dan pilihan kelima Danielle Letourneau (Kanada) tumbang di tangannya ketika Aifa menempah tiket final bertemu pilihan utama dari Mesir yang juga pemain nombor lapan dunia Salma Hany.

Di sebalik jurang 61 anak tangga antara dua pemain itu dalam ranking dunia, Aifa menyerang dengan penuh keyakinan sejak awal. Selepas menang set pertama 12-10, dia terus mempamerkan keunggulan dengan menguasai dua set berikutnya 11-8 dan 11-4 untuk meraih kejuaraan terbesar kariernya setakat ini.

"Terlalu gembira untuk memenangi kejuaraan ke-11 dan gelaran terbesar PSA saya setakat ini. Satu minggu yang menakjubkan apabila hadir hanya sebagai seorang pemain wild-card dan memenangi kejohanan terlalu bermakna buat saya.

"Saya juga berasa sesuatu yang amat istimewa untuk memenanginya di depan penonton di laman sendiri. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit terutama keluarga dan pasukan saya @crossisq @coachsalesy1. Kerjasama sepasukan membantu impian menjadi nyata," tulisnya dalam hantaran di laman Instagram selepas memenangi kejohanan itu.

Sejak kejayaan itu, Aifa membantu Malaysia merampas semula gelaran wanita pada Kejohanan Berpasukan Asia di Bukit Jalil selepas mengatasi juara bertahan Hong Kong. Dia juga muncul naib juara Kejohanan Kebangsaan apabila tewas di tangan S Sivasangari bulan lalu.

Berita Harian X