Khamis, 14 Julai 2022 | 5:46pm
Ng Tze Yong menewaskan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, 21-15, 21-13. - Foto ihsan FB BAM
Ng Tze Yong menewaskan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, 21-15, 21-13. - Foto ihsan FB BAM

`Kisah dongeng' Tze Yong di Terbuka Singapura berterusan

KUALA LUMPUR: Adakah 'kisah dongeng' Ng Tze Yong di Terbuka Singapura mampu diteruskan pada aksi suku akhir esok?

Persoalan itu akan terjawab apabila pemain perseorangan lelaki negara itu membuat perhitungan dengan pemain nombor enam dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting bagi merebut tiket ke separuh akhir.

Terdahulu, pemain berusia 22 tahun berkenaan meneruskan 'kisah dongengnya' selepas sekali lagi menewaskan pemain ranking lebih tinggi dengan menjadikan wakil Hong Kong, Lee Cheuk Yiu yang berada di kedudukan ke-15 dunia sebagai mangsa terbarunya menerusi kemenangan 21-15, 21-13 dalam aksi pusingan kedua di Stadium Tertutup Singapura, hari ini.

Semalam, Tze Yong yang berada di kedudukan ke-47 dunia, turut cemerlang apabila menumbangkan pemain nombor satu Hong Kong, Ng Ka Long 21-16, 21-17 di pusingan pertama.

Ginting yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 mara ke suku akhir selepas menundukkan pemain Taiwan, Li Chun Yi 21-12, 19-21, 21-16.

"Saya bermain dengan lebih baik berbanding perlawanan semalam. Untuk perlawanan suku akhir, saya tidak mahu terlalu banyak fikir kerana apa saya mahu fokus buat persiapan untuk diri saya dan akan berjuang habis-habisan dalam perlawanan nanti," kata Tze Yong.

Sebagai rekod, ia akan menjadi perlawanan pertama Tze Yong menentang Ginting dengan wakil negara itu tampil dengan status 'underdog'.

Pertarungan dengan Ginting turut dianggap persiapan terbaik buat Tze Yong akan menggalas cabaran negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei turut melakar kejutan apabila menewaskan pilihan kelapan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 21-11, 21-19 untuk melangkah ke suku akhir dan akan bertemu pasangan China, Guo Xin Wa-Zhang Shu Xian bagi perebutan tempat ke separuh akhir.

Turut mara dua lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Valeree Siow selepas menewaskan lawan masing-masing.

Soon Huat-Shevon yang muncul juara pada 2018 mara selepas mengatasi gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 10-21, 21-18, 21-10 dan dijadual bertemu Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong manakala Tang Jie-Valeree menang ke atas Lee Chun Hei-Ng Tsz Yau dari Hong Kong 21-13, 21-7 dan akan berdepan pilihan pertama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi empat beregu lelaki negara iaitu Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Goh V Shem-Low Juan Shen dan Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri selain beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Berita Harian X