Sabtu, 9 Julai 2022 | 8:04pm
Aksi Pearly Tan-Thinaah Muralitharan ketika menentang pemain China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada perlawanan separuh akhir Malaysia Masters 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA
Aksi Pearly Tan-Thinaah Muralitharan ketika menentang pemain China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada perlawanan separuh akhir Malaysia Masters 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA

Pearly-Thinaah terkandas di separuh akhir

KUALA LUMPUR: Pertembungan sulung dengan beregu ranking pertama dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan di separuh akhir Masters Malaysia jelas sukar buat gandingan wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Axiata Arena Bukit Jalil, Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-10 dunia tewas 10-21, 19-21 dalam tempoh 43 minit di tangan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari China itu.

"Kami tak gembira kerana banyak melakukan kesilapan hari ini," kata Pearly.

"Mereka bermain dengan sangat baik dan memberikan tekanan sehingga kami tak dapat mengikuti rentak mereka."

Qing Chen-Yi Fan dijadual berentap dengan pilihan keenam dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida di pentas final esok selepas mereka menewaskan Jeong Na Eaun-Kim Hye Jeong dari Korea Selatan, 24-22, 21-13.

Selepas ini, Pearly Tan-M Thinaah dijadual menyertai kontinjen negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual membuka tirainya secara rasmi 28 Julai ini di National Exhibition Centre Birmingham.

Di Terbuka Malaysia minggu lalu, Pearly-Thinaah tewas di pusingan kedua di tangan beregu China, Zhang Shu Xian-Xheng Yu 19-21, 14-21 dalam tempoh 48 minit selepas menundukkan satu lagi pasangan China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting 22-20, 21-14 di pusingan pertama.

Berita Harian X