Jumaat, 8 Julai 2022 | 8:46pm
Sivasangari sudah dibenarkan keluar hospital hari ini selepas dua minggu terima rawatan akibat kemalangan.
Sivasangari sudah dibenarkan keluar hospital hari ini selepas dua minggu terima rawatan akibat kemalangan.

Sivasangari dibenar keluar hospital

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara S Sivasangari dibenarkan keluar dari Hospital Putrajaya selepas kira-kira dua minggu menerima rawatan susulan terbabit dalam kemalangan kereta, akhir bulan lalu.

Pengarah Persatuan Raket Squasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S Maniam memaklumkan pemain berusia 23 tahun itu akan pulang ke rumah ibu bapanya di Bukit Jalil.

Maniam berkata atlet kelahiran Kedah itu perlu menjalani rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) setiap hari untuk proses pemulihan selain rawatan susulan di Hospital Putrajaya.

"Mungkin dua minggu sekali ke Hospital Putrajaya. Sebelum ini, saya jumpa dia dua tiga kali... masih bersemangat dan tidak sabar untuk kembali menjalani latihan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai kedudukan Sivasangari yang melonjak tiga anak tangga dan kini menghuni ranking ke-16 dunia baru-baru ini, Maniam berkata peningkatan ranking itu merupakan paling tinggi pernah dicapai atlet berkenaan.

Jelasnya, SRAM sebelum ini sudah menghantar permohonan kepada Persatuan Skuasy Profesional (PSA) supaya ranking Sivasangari dikekalkan sepanjang tempoh pemulihannya.

"Dua hari lepas, SRAM ada buat permohonan kepada PSA untuk menandakan ranking sehingga Sivasangari kembali beraksi, maksudnya menetapkan ranking Sivasangari untuk beberapa bulan, tetapi setakat ini PSA belum memberi apa-apa respons," katanya.

Sivasangari yang sebelum ini menjadi sandaran emas dan pembawa Jalur Gemilang di Sukan Komanwel Birmingham 2022 terpaksa melupakan hasratnya untuk membuat penampilan di temasya sukan itu selepas tragedi kemalangan yang menimpanya pada 26 Jun lepas.

Justeru, kekosongan yang ditinggalkan beliau akan diisi Aifa Azman sebagai pengganti pembawa jalur gemilang bersama atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin.

Aifa juga akan bergandingan bersama Rachel Arnold dalam acara beregu wanita di pentas berprestij itu. - BERNAMA

Berita Harian X