KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya meraih kemenangan kedua ke atas pasangan ranking kedua dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota pada aksi pusingan kedua badminton Masters Malaysia 2022, di sini, sebentar tadi.
Dalam pertemuan yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil itu, Pearly-Thinaah menewaskan lawannya 21-14, 21-19 untuk merekodkan kemenangan 2-2 dalam empat pertembungan mereka setakat ini.
Pearly-Thinaah selepas ini dijadual bertemu gandingan dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada pusingan suku akhir esok sekali gus memperbaiki pencapaian mereka selepas terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia minggu lalu.
"Pada permulaan set kami bermain dengan bagus tetapi di pengakhiran perlawanan, kami semakin hilang fokus. Malah pasangan Jepun ini semakin bagus, dapat membaca perlawanan kami.
"Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana mengingatkan kami untuk lebih agresif dan akhirnya kami berjaya menewaskan mereka (Fukushima-Hirota)," kata Thinaah selepas perlawanan.
Sementara itu, dalam acara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke suku akhir apabila mengenepikan lawan dari Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang 21-18, 21-18 dalam tempoh 34 minit.
Pilihan kelima itu dijadual bertemu pasangan Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei yang menewaskan beregu negara, Yap Roy King-Yee Jun Chang 14-21, 21-11, 21-10 di pusingan kedua.
"Perlawanan hari ini, lebih tenang dan seronok. Sebab itu kami tidak terburu-buru di dalam gelanggang. Biasanya, apabila kami mendahului lawan dan kemudian lawan mengejar, ia sering menjadi masalah," kata Wooi Yik.
"Jadi ia perkara yang kami sedang selesaikan untuk kami perbaiki tahap permainan kami," kata Wooi Yik.