Rabu, 29 Jun 2022 | 1:57pm
Aifa dipilih bawa Jalur Gemilang di Sukan Komanwel 2022.
Aifa dipilih bawa Jalur Gemilang di Sukan Komanwel 2022.

MOM pilih Aifa

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman dipilih sebagai pengganti rakan seperjuangan S Sivasangari sebagai pembawa Jalur Gemilang di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bersama atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin.

Keputusan itu dibuat menerusi Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dipengerusikan presidennya, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria selepas Sivasangari terbabit dalam insiden kemalangan jalan raya awal pagi Ahad lalu.

"Keputusan penggantian pembawa Jalur Gemilang ini diambil berikutan penarikan diri oleh Sivasangari yang mengalami kecederaan dalam kemalangan di Lebuh Raya Maju (MEX) Ahad lalu.

"Sivasangari, berusia 23 tahun, yang berpangkalan di Amerika Syarikat dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dapat kembali semula ke gelanggang," kata MOM dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Aifa yang membuat penampilan kedua di temasya berkenaan selepas Gold Coast 2018, dipilih Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menggantikan Sivasangari dalam acara beregu wanita bergandingan dengan Rachel Arnold selain beraksi dalam acara perseorangan.

Atlet berusia 20 tahun itu mempunyai rekod prestasi memberangsangkan di pentas antarabangsa dengan meraih pingat emas dalam acara berpasukan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan gangsa di Sukan Asia 2018.

Selain itu, Aifa juga pernah mencatat sejarah sebagai pemenang termuda Jelajah Persatuan Skuasy Profesional pada 2018 ketika berusia 16 tahun dan kini dia berada di tangga ke-28 dunia.

"Adalah menjadi harapan MOM, pemilihan Aifa sebagai pembawa Jalur Gemilang akan menyuntik semangat baharu untuk atlet lain dalam kontinjen Malaysia," tambah MOM dalam kenyataan itu.

Berita Harian X