Rabu, 29 Jun 2022 | 11:47am
Aifa Azman akan bergandingan dengan Rachel Arnold di Sukan Komanwel. NSTP/ FARIZ ISWADI ISMAIL.
Aifa Azman akan bergandingan dengan Rachel Arnold di Sukan Komanwel. NSTP/ FARIZ ISWADI ISMAIL.

Aifa yakin tiada masalah bersama Rachel

KUALA LUMPUR: Pengganti S Sivasangari dalam acara beregu wanita skuasy di Sukan Komanwel Birmingham 2022, Aifa Azman tidak mempunyai masalah untuk bergandingan Rachel Arnold.

Aifa, 20, berkata, masih ada beberapa minggu lagi sebelum temasya empat tahun sekali itu membuka tirainya pada 28 Julai ini dan tempoh yang ada bakal memberikan ruang buat mereka memperkemaskan gandingan bersama.

"Semalam (kelmarin) kami ada latihan beregu bersama, agak baik untuk sesi pertama kami bersama kerana pada awal tahun ini, kami ada cuba bergandingan kerana pada ketika itu, Sivasangari masih berada di Amerika Syarikat.

"Jadi memang ada nampak janggal dan tidak sesuai namun semalam, saya agak terkejut kerana kami seperti boleh serasi antara satu sama lain. Kami tidak mempunyai masalah untuk memilih sudut manakah yang kami ingin bermain.

"Pada awalnya, ada sedikit kegusaran kerana kami berdua ini pemain 'forehand'. Kami main belah kanan bersama rakan gandingan masing-masing sebelum ini. Apapun, secara keseluruhan, tiada masalah untuk Aifa bergandingan bersama Rachel," kata Aifa.

Semalam, Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), mengumumkan rombakan dalam barisan pemain ke Birmingham selepas prospek emas dan juga pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara, Sivasangari terbabit dalam satu kemalangan di Lebuhraya Express Maju (MEX) pada 3.46 pagi Ahad lalu.

Kemalangan itu menyaksikan Sivasangari perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dapat kembali ke gelanggang.

Aifa dijadual menyertai acara perseorangan dan beregu wanita bersama Rachel. "Masih ada beberapa minggu (sebelum temasya), ia seharusnya memadai untuk kami membiasakan diri dengan permainan kami. Daripada sudut komunikasi, semuanya bagus dan ia seharusnya OK," kata Aifa yang turut menyatakan tidak mustahil buat mereka untuk membawa pulang pingat.

Berita Harian X