Selasa, 28 Jun 2022 | 6:23pm
Aifa (kanan) dipilih ganti Sivasangari dalam acara beregu wanita di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bulan depan.
Aifa (kanan) dipilih ganti Sivasangari dalam acara beregu wanita di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bulan depan.

Aifa ganti Sivasangari

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita, Aifa Azman akan menggantikan S Sivasangari dalam acara beregu wanita di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bulan depan.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam berkata pemain berusia 20 tahun itu akan bergandingan bersama Rachel Arnold.

Katanya, turut beraksi dalam acara beregu wanita adalah Chan Yiwen dan Noor Ainaa Amani Ampandi dengan Ainaa turut beraksi acara beregu campuran bersama Addeen Idrakie.

"Susulan kemalangan dialami Sivasangari yang mengakibatkan dirinya tidak boleh beraksi di Sukan Komanwel (akibat kemalangan), kami harus membuat satu keputusan bagi menggantikan tempatnya.

"Jawatankuasa kejurulatihan SRAM membincangkan mengenainya dan memutuskan untuk merombak barisan pemain sedia ada.

"Jadi, Rachel yang sepatutnya bergandingan bersama Sivasangari kini digandingkan bersama Aifa dalam acara beregu wanita. Syafiq Kamal yang sebelum digandingkan bersama Aifa dalam beregu campuran, kini bergandingan bersama Ong Sai Hung dalam acara beregu lelaki.

"Syafiq juga akan terus bermain dalam acara perseorangan. Addeen Idrakie yang yang sepatutnya bergandingan bersama Ong Sai Hung dalam beregu lelaki akan bermain acara beregu campuran bersama Ainaa.

"Chan Yiwen juga kini akan bermain dalam acara perseorangan dan tiada tambahan pemain dilakukan," kata Maniam dalam satu kenyataan hari ini.

Sivasangari yang dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel bersama atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, mengalami kecederaan di kepala dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju (MEX) pada jam 3.46 pagi Ahad lalu.

Atlet berusia 23 tahun itu dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dapat kembali ke gelanggang.

Senarai pemain skuasy ke Sukan Komanwel 2022

Perseorangan lelaki
Ng Eain Yow
Ivan Yuen
Syafiq Kamal

Beregu lelaki
Ng Eain Yow-Ivan Yuen
Syafiq Kamal-Ong Sai Hung

Perseorangan wanita
Aifa Azman
Rachel Arnold
Chan Yiwen

Beregu wanita
Aifa Azman-Rachel Arnold
Chan Yiwen-Noor Ainaa Amani Ampandi

Beregu campuran
Addeen Idrakie-Noor Ainaa Amani Ampandi

Berita Harian X