Sabtu, 25 Jun 2022 | 5:16pm
Norza yakin ketiadaan Zii Jia bukan halangan raih dua emas seperti disasarkan di Sukan Komanwel Birmingham Ogos depan.
Norza yakin ketiadaan Zii Jia bukan halangan raih dua emas seperti disasarkan di Sukan Komanwel Birmingham Ogos depan.

BAM kekal sasaran dua emas di Birmingham

KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 tetap mengekalkan sasaran dua pingat emas biarpun turun tanpa kelibat jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang menarik diri daripada temasya berkenaan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria percaya pemain lain yang akan menggalas cabaran negara di Birmingham mempunyai semangat yang tinggi bagi meneruskan tradisi sukan itu di pentas Sukan Komanwel yang akan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

"Ketika ini sudah pasti kita meletakkan sasaran dua (emas), namun kami akan perincikan lagi pelan di Sukan Komanwel nanti," kata Norza ketika ditemui selepas Perhimpunan Agung Majlis Olimpik Malaysia ke-41 di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Saingan di Sukan Komanwel menyaksikan badminton menawarkan enam pingat emas termasuk satu dalam acara berpasukan campuran.

Tanpa kehadiran Zii Jia, tanggungjawab bagi menghadirkan kilauan emas kini terarah kepada barisan pemain beregu iaitu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan dua beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Pada edisi terakhir di Gold Coast, empat tahun lalu, skuad badminton menyumbangkan dua emas menerusi bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu wanita, Vivian Hoo-Chow Mei Kuan.

Tempat Zii Jia di Sukan Komanwel kali ini digantikan dengan pemain muda negara, Ng Tze Yong yang berada di kedudukan ranking ke-48 dunia.

Dalam pada itu, Norza mahu pengarah kejurulatihan perseorangan, Wong Choong Hann untuk melipatkan gandakan usaha bagi mengukuhkan lagi sektor perseorangan lelaki negara yang dilihat masih jauh ketinggalan di belakang kelompok utama dunia.

"Kini, tanggungjawab besar untuk Choong Hann dan pasukannya untuk mempersiapkan skuad perseorangan lelaki secepat mungkin, kita mahukan lebih ramai pemain dilahirkan supaya kita dapat hantar pasukan yang terkuat untuk kejohanan akan datang," katanya.

Berita Harian X