Ahad, 12 Jun 2022 | 5:39pm
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah. - Foto ihsan FB BAM
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah. - Foto ihsan FB BAM

Pearly-Thinaah tekad bangkit di Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah akan segera menyusun langkah bagi memperbaiki kelemahan mereka untuk menghadapi Terbuka Indonesia yang bermula, Selasa ini.

Pasangan ranking ke-10 dunia itu terpaksa akur apabila tewas di tangan wakil tuan rumah yang juga pilihan ketujuh, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 23-21, 14-21, 14-21 dalam aksi Masters Indonesia yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Jakarta.

Thinaah berkata kekalahan itu memberi pengajaran berguna kepada mereka dan tekad untuk tidak mengulangi 'skrip' sama apabila beraksi dalam saingan Terbuka Indonesia yang menjanjikan persaingan lebih mencabar.

"Saya fikir mereka (Apriyani-Siti Fadia) bermain lebih baik berbanding kami. Mereka kurang melakukan kesilapan dan lebih konsisten. Sudah pasti kami kecewa tetapi kami akan belajar daripada kekalahan ini.

"Di Terbuka Indonesia, kami tidak mahu terlalu memikirkan mengenai sasaran sebaliknya kami mahu meningkatkan prestasi dan fokus satu demi satu perlawanan," kata Thinaah.

Biarpun gagal ke final namun pencapaian Pearly-Thinaah kali ini tetap sesuatu yang positif apabila buat kali kedua berturut-turut mereka berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik selepas Terbuka Thailand, bulan lalu.

Di Terbuka Indonesia, Pearly-Thinaah yang muncul juara Terbuka Switzerland tahun lalu berdepan laluan berliku untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian di Masters Indonesia dengan mereka dijadual menentang rakan sepasukan, Teo Mei Xing-Anna Cheong di pusingan pertama.

Jika berjaya mengatasi Mei Xing-Anna, mereka dijangka membuat perhitungan dengan pasangan nombor empat dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota bagi merebut tiket ke suku akhir kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu.

Berita Harian X